KUALA LUMPUR: Tempoh 37 tahun berkecimpung dalam bidang kewartawanan bagaikan tidak cukup untuk beliau menabur bakti. Sejak bersara pada Januari 2015, beliau kini aktif melakukan pula kerja-kerja kebajikan. "Saya bukan jutawan. Saya hanya seorang bekas wartawan yang melihat manusia lain sebagai keluarga dan sahabat yang perlu dibantu. "Semoga Allah buka pintu hati saya untuk terus berbakti dan berbuat kebajikan selagi saya terdaya. Jiwa saya tenang dan bahagia kalau dapat tolong orang," begitu ungkapan bekas wartawan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu, Normala Hamzah, 60, dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini menceburi bidang kewartawanan ketika berusia 18 tahun. Karier kewartawanannya bermula dengan akhbar tabloid BintangTimur, terbitan anak syarikat Utusan Melayu, Warta Negara Press Sdn Berhad. Normala berpindah ke Kuala Lumpur pada 1979 selepas berkahwin dan berkhidmat di ibu pejabat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Sasar untuk mengedar 5,000 pasang telekung sempena Projek Wakf Telekung Siti Aisyah. Sepanjang tempoh 37 tahun dengan Utusan Melayu, beliau meraih pengalaman bekerja di Meja Luar Negara, Mingguan Malaysia (13 tahun), Meja Keluarga dan Wanita dan di bahagian majalah, Wanita. Utusan Melayu adalah "universiti pertama" Normala mempelajari selok-belok kewartawanan. Normala berpendirian "jika kita berusaha kita akan berjaya. "Saya menulis kerana minat, dan saya berjaya membuktikan tanpa kelulusan tinggi juga seseorang itu boleh berjaya. "Banyak yang saya pelajari sebagai wartawan, bergaul dengan semua kategori manusia. Dari serendah-rendah pangkat hingga ke peringkat paling atas, ibaratnya saya pernah bermain lumpur di sawah padi sampai kepada memijak tangga istana,"kata Normala. Kemuncak kerjaya beliau apabila ditugaskan menulis kisah pelayaran DYMM Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebaik sahaja baginda kembali dari mengelingi dunia dengan Jugra, kapal layar peribadi baginda. "Baginda belayar sejauh 27,940 batu nautika dan berhenti di 155 buah pelabuhan selama 644 hari dan berakhir pada 6 Nov, 1996. "Selama enam bulan, dua kali seminggu saya mengadap dan menemuramah Baginda untuk berkongsi pengalaman Baginda mengelilingi dunia bersama kapal layar Jugra. Kisah ini disiarkan setiap hari Ahad sebanyak 35 siri di dalam akhbar nombor satu negara, Mingguan Malaysia pada 1997," kata Normala. Satu lagi pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah menjadi wartawan pertama diberi perkenan untuk menemuramah YAM Permaisuri Siti Aishah semasa baginda menjadi Tengku Permaisuri Selangor dan Raja Permaisuri Agong. Dalam kesibukan kerja, Normala yang hanya berkelulusan Malaysian Certificateof Education (MCE) berjaya menyambung pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada usia 45 tahun. Belajar secara sambilan sudah tentunya banyak tekanan tetapi Normala berjaya menghabiskan pengajian pada tahun 2001 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dan Komunikasi Massa (Kewartawanan). KERJA KEBAJIKAN Melakukan kerja-kerja kebajikan sudah sebati dalam diri Normala sejak beliau di bangku sekolah lagi. "Hati saya yang mendorong ke arah itu, berbuat kebajikan sebanyak mungkin,selagi terdaya dengan izin Allah SWT. Sejak sekolah saya suka menolong orang. Perkara itu terbawa-bawa hingga saya bekerja. Dengan keluarga pun begitu. "Saya puas jika dapat tolong orang. Tidak kira apa bentuk pertolongan, saya akan lakukan. Jika tolong saya akan tolong habis-habisan, seikhlas hati. Saya selalu berdoa kepada Allah, mohon diberi kesihatan yang baik dan kudrat supaya saya dapat berbuat kebajikan kepada sesiapa sahaja khasnya kepada masyarakat yang memerlukan," kata Normala. Antara projek kebajikan yang turut digerakkannya ialah Projek Wakaf Telekung iaitu Wakaf Telekung Siti Aishah" yang dilancarkan pada 26 Mei lepas oleh YAM Permaisuri Siti Aishah. "Projek ini saya ilhamkan bersama D’or Rue Sdn Bhd, kilang pengeluar aksesori wanita dan cenderahati, hasil perbincangan dengan Pengarah Urusannya, Hanizah Zainuddin. "Saya berharap kami dapat mencapai sasaran mewakaf 5,000 pasang telekung sepanjang bulan Ramadan ini sehingga akhir tahun. Harga telekung RM35 (Dewasa) dan RM30 (Kanak-kanak). "Telekung yang telah diwakaf akan diagih-agihkan ke Rumah Rumah Kebajikan, R& R Utara-Selatan, masjid, surau, stesen minyak serta sekolah agama dan tahfiz. Oleh kerana saya ada banyak masa, saya mengagihkan sendiri telekung yang telah diwakafkan oleh kawan-kawan dan saudara-mara bersama anak bongsu saya dan anak saudara," katanya. Menurut Normala, setakat ini beliau telah mengagihkan hampir 50 pasang telekung di sekitar Lembah Klang dan R &R Lebuhraya PLUS arah Selatan. Normala turut memberi masa membantu program kebajikan untuk gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Program yang diberi nama Krew Kasih Gelandangan ini dinaungi oleh Senator Shahanim Mohamad Yusof. Program berjumpa dan memberi makanan kepada gelandangan ini dibuat setiapbulan ini dan dilaksanakan lebih setahun lepas. Normala (tengah) aktif sebagai krew Kasih Gelandangan yang mengedar makanan dan keperluan gelandangan di sekitar Jalan Hang Lekiu. Untuk setiap program, antara 400 hingga 600 gelandangan akan dikumpulkan. Istimewanya program gelandangan ini, ia juga diisi dengan nasihat dan tazkirah agama. "Kebanyakan gelandangan adalah mereka yang tersisih dari keluarga, sebatang kara, tiada tempat tinggal, lari dari rumah dan ada juga penagih. Mereka terdiri dari pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain, " kata Normala. Normala juga menyertai program kebajikan di luar negara iaitu Program ke Aceh, anjuran Yayasan Qaseh ZYPHOTO. Ia diketuai Pengarah Urusan ZY Photo SdnBhd, Puan Sharifah Ameelia Akma. "Kami namakan program ini Program Mendakap Kasih Ramadan Di Bumi Aceh. Ia tercetus hasil lawatan saya bersama beberapa kawan ke Aceh Februari lepas. Kamisempat melawat sebuah rumah anak yatim Dayah Nurul Huda terletak di Desa AjeeCut. "Kebanyakan penghuninya adalah anak mangsa Tsunami yang selamat tetapi telah kehilangan ibu bapa, keluarga dan saudara mara. Keadaan mereka sangat menyedihkan dan amat memerlukan bantuan," kata Normala. AIR MATA DI ACEH Lawatan ke Aceh yang teruk dilanda Tsunami pada 26 Dis, 2004 begitu menyentuh perasaan Normala. Air matanya mula bergenang saat pramugari mengumumkan kapal terbang selamat mendarat di Lapanganterbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda. "Hati rasa sebak, mungkin sebab teringatkan tragedi tsunami yang menimpa bumi Aceh. Lagipun semasa masih bekerja saya memang berharap untuk ke Aceh membuat liputan atau tinjauan mengenai Aceh setelah 14 tahun Tsunami berlalu, tetapi hajat saya tidak kesampaian. "Mungkin itulah sebabnya saya jadi sebak kerana akhirnya dapat juga saya menjejak kaki di bumi Aceh. Hajat saya Allah kabulkan," katanya. Ketika melawat tanah perkuburan Massal untuk mangsa tsunami, ketika melihatkubah yang dihanyutkan air deras di Desa Gurah, Kecamantan Peukan Banda Aceh sejauh 2.5 km dari posisi asalnya di Desa Lam Teungoh, Aceh Besar, Masjid Baiturrahman yang tidak terusik dek tsunami, air mata Normala bercucuran. "Perasaan sayu dan sebak silih berganti. Tatkala menelusuri kawasan pantaisekitar Aceh yang kini sudah ditambak tebingnya, saya membayangkan ketakutan yang dirasakan oleh penduduk pulau itu ketika tsunami melanda, jeritan, tangisan bagaikan sedang berlaku di hadapan mata. "Saya benar-benar insaf mendengar cerita mereka yang selamat dan masih hidup. Apatah lagi melihat kesannya yang terpampang di hadapan mata. Terbayan gombak besar setinggi pokok kelapa. Betapa besarnya kuasa Allah!" kata Normala. TULIS BUKU Sebagai wartawan, menulis sudah menjadi darah daging. Di penghujungkariernya dengan Utusan Melayu, Normala menghasilkan sebuah buku berbentuk "Coffee-Table". Beliau menyifatkan buku itu sebagai permata untuk dirinya setelah 37 tahun bekerja sebagai wartawan. "Buku Coffee-Table yang dinamakan 'Permaisuri' ini adalah ilham saya sendiri. Ia mengandungi biografi 14 orang Raja permaisuri Agong dari yang pertama hingga yang ada sekarang dan diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Berhad. "Buku kedua saya diterbitkan oleh JMD Publications Sdn Bhd, bertajuk Rahsia Hidup Ibu Halimah, kisah hidup Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib dan anaknya, Syed Muhammad Gadaffi Alhabsyee, Pengarah Urusan Jamu Mak Dara. Buku ini telah berada di pasaran sejak Oktober 2015. "Insya-Allah saya kini sedang dalam proses menyiapkan beberapa buku lagi, dua daripadanya akan terbit menjelang akhir tahun dan awal 2017," kata Normala. Jelas sekali, bersara bagi Normala bukan noktah kepada perjalanan hidup untuk menyumbang bakti. Malah bersara memberi banyak ruang untuk bekas wartawan ini melakukan banyak perkara yang terbatas dilakukan ketika masih bekerja. "Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan hidup saya dan bagi saya kekuatan untuk terus melakukan kerja-kerja kebajikan," kata Normala, ibu kepada empat cahaya mata dan empat orang cucu. -Bernama