KOTA BARU: Kerajaan kerugian kira-kira RM2.5 bilion dari segi pungutan cukai, tahun lepas akibat penyeludupan rokok haram, kata Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Datuk Mohd Adhan Kechik. Beliau berkata jumlah kerugian itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada penggiat industri tembakau. "Punca kemasukan rokok seludup menyebabkan harga rokok di sini antara yang paling tinggi, selain Singapura dan Brunei. "Di negara lain seperti Thailand, Kemboja, Vietnam dan Indonesia, harganya begitu murah," katanya kepada pemberita pada Majlis Bicara Kenaf di Dataran Kenaf di sini Khamis malam. Mohd Adhan berkata keadaan itu mendorong kepada penyeludupan rokok haram sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan dari segi kutipan cukai. Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Bunga itu berkata penguatkuasaan kawalan keselamatan di sempadan perlu dipertingkat bagi menangani perkara itu. -- Bernama