SEREMBAN: Hasil ujian darah dalam kalangan keluarga terdekat tiga mangsa yang dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE) di negeri ini didapati negatif. Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagaimanapun pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada virus itu berpunca daripada babi hutan seperti yang dilaporkan. "Kes JE di negeri ini ada tiga tetapi ketiga-tiganya dari lokasi yang berbeza dan setakat ini hasil ujian darah yang telah dilakukan Jabatan Kesihatan dan Kementerian Kesihatan ke atas mereka (keluarga terdekat) tidak ada tanda yang menunjukkan mereka turut dijangkiti JE," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya 2016 kepada Anggota-anggota Keselamatan Negeri Sembilan dan Anak-anak Yatim di sini, Jumaat. Rabu lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar sejak 20 Mei lalu disahkan dijangkiti JE dan merupakan kes ketiga di Negeri Sembilan selepas kes di Jelebu dan Kuala Pilah. Mohamad berkata setakat ini kes itu merupakan kes terpencil dan bukannya satu wabak, malah pihaknya masih belum dapat mengesahkan dari mana datangnya nyamuk yang membawa virus JE itu. "Sehingga kini, kita tidak boleh buat satu keputusan konkrit bahawa gigitan nyamuk tersebut datang dari mana kerana kawasan rumah mangsa tidak ada kawasan ternakan babi. "Ada berita kata ia daripada babi hutan berhampiran kampung, itu pun kita tidak dapat sahkan melainkan jika kita dapat tangkap binatang tersebut dan buat ujian darah dan sekiranya ia betul barulah kita boleh sahkan ia datang hasil gigitan nyamuk yang menggigit binatang berkenaan dan seterusnya menggigit mangsa," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohamad menggesa agar Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini bergerak lebih aktif agar mereka dapat menjadi jambatan kepada kerajaan negeri menyalurkan maklumat berkaitan golongan yang hidup dalam kedaifan di negeri ini. "Ini peranan NGO... Di negeri ini selain NGO Negeri Sembilan Women's Organisation, ada banyak lagi NGO lain yang kerajaan harapkan untuk menjadi tangan-tangan halus yang boleh bersama masyarakat, yang tahu dan mengambil berat tentang masyarakat bagi membantu kita menjayakan falsafah utama kerajaan iaitu Dasar Jaringan Keselamatan. "Saya dan rakan-rakan tidak ada 'crystal ball' yang boleh tahu semuanya kerana itu NGO dilihat dapat memainkan peranan penting untuk memaklumkan jika ada masyarakat dari akar umbi yang hidup dalam kesusahan," katanya. Terdahulu, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Pekerti) Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin berkata sumbangan 7,000 bungkusan kuih raya telah disediakan untuk diberikan kepada anggota keselamatan yang bertugas ketika Aidilfitri dan juga untuk anak-anak yatim. "Anggota keselamatan ini adalah dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Jabatan Penjara Negeri Sembilan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan Jabatan Maritim Negeri Sembilan/Melaka. "Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyumbangkan duit raya kepada anak-anak yatim dan anggota keselamatan," katanya. -- Bernama