SUNGAI BESAR: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar tamat pada pukul 5 petang Sabtu dengan 74 peratus pengundi keluar mengundi. Peratusan ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang Sabtu. Peratusan ini juga hampir menepati jangkaan SPR sebelum ini yang menyasarkan 75 peratus pengundi keluar mengundi. Keadaan lalu lintas jalan utama di simpang Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Dorani masih terkawal walaupun para pengundi meletakkan kenderaan di bahu jalan di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabtu. Angka ini mencatatkan penurunan berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 88.3 peratus. Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.