PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) membidas kenyataan 'ego' Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB), Christoph Mueller yang mendakwa kebanyakan daripada 6,000 kakitangan syarikat itu yang diberhentikan ditangkap kerana tidur masa bekerja. "Masalah dengan beliau ialah beliau adalah orang luar dan mungkin tidak faham budaya pekerja kita di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat. Menurut Nufam, mungkin ada sebabnya pekerja tidur ketika masa bekerja dan menggesa Mueller untuk memahami bahawa pekerja di bahagian operasi bekerja dalam linkungan 24 jam dengan ada di antara mereka bekerja lebih masa sehingga kepenatan. "Tidak mungkin seorang pekerja itu akan datang ke kawasan kerja mereka untuk tidur. Buat apa nak tidur di pejabat, baik tidur kat rumah lagi selesa atau pekerja boleh saja ambil cuti jika tak cukup rehat," katanya. Nufam turut mencadangkan agar Mueller menunjukkan bukti mengenai dakwaannya itu. "Kru kabin pun kena tidur sebab ia amat penting buat mereka kerana ia akan menyegarkan mereka dalam perjalanan penerbangan yang jauh. Tidur tidak boleh dijadikan sebagai alasan mengapa sebuah syarikat seperti MAB membuang pekerja mereka!," katanya. Pada masa sama, Nufam turut mengkritik tindakan syarikat penerbangan itu yang menggunakan jalan mudah memberhentikan kakitangannya dengan memberi alasan bahawa 6,000 kakitangannya dipecat kerana ditangkap ketika tidur masa bekerja. Nufam menggesa Mueller supaya melihat polisi syarikat penerbangan Virgin Airlines yang menggalakkan kakitangannya untuk tidur jika kepenatan. "Ini adalah satu daripada sifat perikemanusiaan yang ada pada syarikat penerbangan bertaraf tinggi," katanya. Mueller dilantik pada Mac 2015 selepas reputasi dan jualan MAB merosot susulan dua kemalangan udara membabitkan pesawat milik syarikat penerbangan itu. Terdahulu, Mueller membuat keputusan untuk meninggalkan syarikat itu pada September atas alasan peribadi dan sukar dikawal.