suria

Harga Pisang, Betik Melambung Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Harga Pisang dan betik di pasar Batu Lanchang di sini didapati melambung naik sejak awal Ramadan.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata harga pisang abu naik dari RM3.50 sekilogram kepada RM6 sekilo manakala harga betik dari RM3 kepada RM4 sekilogram.

"CAP melakukan pemantauan berterusan dan kenaikan yang sangat ketara ini amat mengejutkan," katanya pada Sabtu.

Subbarow berkata kenaikan harga itu merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap pengguna dan beliau menyeru kerajaan mengawal harga buah-buahan tempatan.

"Kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mengawal harga buah-buahan di samping barangan lain seperti ayam dan daging kerana buah-buahan juga penting untuk mencapai diet yang seimbang, katanya.

Beliau juga menyeru peniaga untuk membeli secara terus dari petani bagi menggelak kenaikan harga yang melampau disebabkan oleh kegiatan pemborong yang mengaut untung berlipat ganda.

Menurut peniaga buah yang enggan dikenali, mereka tidak boleh dipersalahkan atas kenaikan harga tersebut sebaliknya pemborong merupakan pihak yang bertanggungjawab menaikkan harga.

"Pemborong memberitahu bahawa buah-buahan tersebut mendapat permintaan yang tinggi tetapi bekalan yang ada tidak mencukupi, jadi harga terpaksa dinaikkan," katanya.

Betik, Pisang

Artikel Lain