SEKINCHAN: Pengundi muda mahupun tua mula membanjiri pusat pengundian untuk membuang undi pada awal pagi Sabtu untuk mengelak cuaca hujan. Ada di kalangan mereka balik ke kampung halaman semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab itu. Salah seorang daripadanya adalah pengantin baharu, Lee Lung, 27, yang pulang ke kampung halamannya untuk membuang undi. "Selepas mengundi, saya akan bergegas balik ke Ipoh untuk menghadiri majlis resepsi saya malam ini," katanya. Lee yang mengundi buat kali kedua berkata pusat pengundian kurang sesak berbanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu. Majoriti penduduk di bandar Sekinchan terdiri daripada lebih 9,000 pengundi Cina. Pusat pengundian di SMJK Yoke Kuan merupakan salah satu kawasan terbesar dalam Parlimen Sungai Besar dan mempunyai lebih 5,000 pengundi. Pilihan Raya Kecil Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi, Dr Abdul Rani Osman mewakili PAS dan Azhar Mohd Shukur dari Amanah.