suria

Proses Pengundian PRK Kuala Kangsar Bermula

KUALA KANGSAR: Sebanyak 23 pusat mengundi dengan 69 saluran mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dibuka bermula 8 pagi Sabtu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hisham Abdullah berkata sejumlah 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi pada Sabtu untuk memilih wakil rakyat mereka.

Daripada jumlah itu, 312 merupakan pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab pada 14 Jun lepas, manakala lima lagi adalah pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mohd Hisham berkata semua pusat pengundian yang terdiri daripada 21 buah sekolah dan dua dewan orang ramai akan ditutup 5 petang.

"Proses pengiraan undi akan dijalankan di tempat mengundi selepas proses pengundian tamat dan bukannya di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak," katanya.

Beliau berkata SPR menyasarkan 75 peratus pemilih yang layak akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka dengan keputusan pengundian dijangka diumumkan selewat-lewatnya pukul 9 malam Sabtu.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Kangsar adalah 84.3 peratus.

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor berikutan kematian Angggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary. - BERNAMA

PRK Kuala Kangsar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain