LABUAN: Bazar Ramadan popular di Labuan ialah di kawasan letak kereta Jalan Wawasan, belakang hotel lima bintang Grand Dorsett, yang seumpama pesta makanan menjelang petang dengan pelbagai jenis makanan dihidangkan kepada pengunjung. Kira-kira 1,000 pengunjung Islam dan bukan Islam mengerumuni bazar makanan berbuka puasa itu setiap hari, masa terbaik setiap tahun untuk mendapatkan dan merasa makanan Melayu yang lazat seperti ayam golek, ayam percik, sate, pelbagai jenis laksa dan lain-lain pada harga murah. Dua barisan panjang gerai dengan makanan tersusun di kedua-dua belah jalan memulakan jual beli seawal 3 petang hingga 7 malam. Bazar popular itu, yang terkenal sebagai bazar terbesar di pulau bebas cukai ini telah menjadi tarikan utama pengunjung sejak bertahun lamanya terutama apabila menjelang Hari Raya. Bazar ini tetap menjadi tarikan popular penggemar makanan walaupun saiznya mengecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun apa yang kurang dari segi kuantiti mereka atasi dengan menjual makanan berkualiti. Kekurangan jualan tidak terasa sebenarnya kerana banyak makanan yang lazat hingga menyukarkan untuk membuat pilihan," kata kakitangan kerajaan Maimunah Yussof. Orang ramai boleh menemui juadah biasa berbuka puasa seperti murtabak jawa, roti John, nasi ayam, atau makanan tradisional popular seperti nasi kerabu Kelantan, nasi beriyani, nasi katok, nasi ayam penyet dan nasi ayam rempah, yang lazimnya perlu beratur panjang untuk membelinya. Kuih dan makanan tradisional popular Labuan serta Brunei dan makanan lain turut dijual setiap hari seperti seri muka, jelurut, kelupis, kuih punjung, tepung pelita, serta kuih dengan lama lucu tapi sedap seperti kuih badak berendam, tahi itik, puteri mandi, kuih bom, cucur badak dan batang buruk. Bazar Pasar Sentral Labuan pula ialah bazar Ramadan kedua terbesar bertempat di kawasan tempat letak kereta pasar itu bertentangan dengan Utama Jaya. Bazar ini popular dengan sebuah gerai Papa John yang barisan pembelinya sentiasa panjang. Roti yang menjadi pilihan ramai ialah Papa John Kambing, dikatakan terbaik antara kesemua "Roti John yang dijual di situ. Walaupun terletak jauh di luar bandar Labuan, bazar Ramadan Taman Mutiara turut menawarkan suasana kemeriahan berjual beli dalam bulan mulia ini. Terdapat lebih 20 gerai dibuka, antara yang unik ialah gerai jualan ayam golek dan kepak ayam panggang. Selain menawarkan juadah biasa seperti nasi ayam berempah, nasi lemak kukus, nasi ayam penyet, bazar itu semakin popular dengan jualan cendol tradisional, yang tidak pernah gagal menarik pengunjung yang ramai. "Ada yang berkata bazar ini tidak sebesar dahulu, tapi masih merupakan bazar terbaik untuk dikunjungi terutama apabila kita kesuntukan masa," kata Rosli Amir, kakitangan sebuah syarikat minyak dan gas di sini. Sejumlah 439 gerai dibuka di sembilan bazar di Jalan Wawasan (belakang Medan Selera), Jalan Bunga Mawar, Anjung Selera Durian Tunjong, Pasar Sentral Labuan, Taman Mutiara, UMSKAL, Layangan, Batu Arang dan Kolej Matrikulasi. Kesemua bazar ini dipantau oleh Perbadanan Labuan dan Jabatan Kesihatan Labuan dari segi urusan jual beli dan kebersihannya.