suria

Budiman Akui Terkejut

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir meraikan Ahli Parlimen Sungai Besar yang baru, Budiman Mohd Zohdi selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen P. 093 Sungai Besar di Pejabat UMNO Bahagian Sungai Besar. Calon Barisan Nasional mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar dengan menewaskan calon Pas, Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukor. Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merangkap Naib Presiden UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

SUNGAI BESAR: "Saya memang terkejut," demikian ucapan ringkas Budiman Mohd Zohdi apabila menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Sabtu.

Budiman yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak menyangka akan menang dengan majoriti besar memandangkan menganggap dirinya hanya calon ‘underdog’.

"Senenarnya saya terkejut sebab di peringkat awalnya saya bergerak sebagai ‘underdog’, saya menerima hakikat kita (BN) menang 399 undi dalam pilihan raya yang lepas.

"Saya optimis untuk menang di peringkat awal walaupun turun sebagai ‘underdog’ tetapi tak menyangka dengan majoriti yang sebegini besar," katanya kepada pemberita selepas diumumkan menang besar dengan majoriti 9,191 undi.

Dua pencabarnya, Azhar Ab Shukur (Parti Amanah Negara) dan Dr Abdul Rani Osman (PAS) masing-masing mendapat 7,609 dan 6,902 undi.

Budiman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang bagaimanapun berkata beliau amat bersyukur dengan kemenangan ini dan akan sentiasa mengingatkan dirinya agar tidak meninggi diri.

Menurut Budiman, turun sebagai ‘underdog’ adalah prinsipnya dalam pilihan raya ini tetapi dari segi gerak kerjanya di kawasan DUN Sungai Panjang, tugas-tugas bersama rakyat sudah menjadi rutin dan kebiasaan bagi dirinya.

"Jadi saya hanya perlu meluaskan khidmat saya di kawasan Sekinchan. Kali ini terbaiknya kerana kita punya jentera-jentera yang membantu di peringkat negeri, dan ramai rakan yang membantu. Saya rasa ini akan memberikan satu kelebihan kepada kita untuk bergerak dalam satu pasukan," katanya.

Bergelar ahli Parlimen baharu, Budiman berazam untuk memperbaiki Pasar Awam Sekinchan yang dikatakannya sering menjadi rungutan orang awam dan para peniaga.

"Sejak kerajaan Selangor memimpin dan diwakili oleh wakil rakyat DAP, saya melihat pasar awam itu tak diurus dengan sempurna dan mendapat banyak komen berkenaan gerai dan penyewa tentang keadaan pasar awam itu.

"Saya fikir dengan hubungan baik yang kita bina di peringkat persekutuan, perkara itu mesti saya selesaikan dengan segera dan itu juga merupakan janji pilihan raya yang patut saya laksanakan," katanya.

Sungai Besar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain