ALOR SETAR: Jabatan Kastam Kedah merampas lebih 32 kilogram dadah termasuk heroin, methamphetamine, ketamin serta pil ecstasy dan Erimin 5 dari sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah haram di Johor. Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya, serbuan itu dijalankan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Sri Jaya, Ledang, Johor kira-kira pukul 5.15 pagi pada 17 Jun lalu selepas dua hari pemerhatian. "Tiada siapa yang ditangkap dalam serbuan itu," kata Zulkifli pada sidang media di kompleks Kastam Kedah di sini. "Pasukan serbuan yang terpaksa memecahkan pintu rumah menemui dadah di ruang tamu dan bilik di tingkat atas," katanya, sambil menambah pelbagai peralatan memproses dadah dan alat pembungkusan juga ditemui di dalam rumah. "Tiada siapa yang tinggal dalam rumah itu. Ia digunakan khusus untuk aktiviti pemprosesan dadah," katanya. "Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti pemilik rumah itu dan pihak yang terlibat. "Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori," katanya, sambil menambah bahawa dadah yang diproses dipercayai untuk pasaran tempatan. Zulkifli berkata rampasan itu merupakan rampasan dadah terbesar bagi Kastam Kedah dan yang kedua terbesar di negara ini pada tahun ini.