suria

Sindiket Nikah Palsu Tumpas Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Satu sindiket yang mengeluarkan sijil nikah dan kad akuan pernikahan palsu berjaya ditumpaskan dengan penangkapan tiga penjawat awam termasuk seorang pekerja Jabatan Hal Ehwal Agama negeri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berumur antara 30 dan 43 tahun dalam operasi yang dijalankan pada Ahad.

Satu sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu menyediakan sijil perkahwinan dan kad akuan nikah kepada sesiapa yang berkahwin di Thailand dengan bayaran RM3,500 terutamanya untuk lelaki yang berminat untuk berpoligami.

Dalam operasi itu, seorang pegawai berusia 43 tahun dari Jabatan Hal Ehwal Agama ditahan di sini pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Sumber itu berkata, penahanan suspek itu dibuat selepas dia didakwa menerima RM1,000 sebagai bayaran untuk perkhidmatan menyediakan sijil perkahwinan dan kad pengisytiharan perkahwinan.

Sumber itu berkata, suspek kedua dan ketiga yang berumur 30 dan 34 tahun itu ditahan di sini masing-masing pada pukul 5.30 petang dan 11.30 malam.

SPRM turut merampas RM100 dari kedua-dua suspek lain yang dipercayai sebagai bayaran untuk tujuan yang sama.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari telah diperolehi bagi ketiga-tiga suspek dan mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah 2009.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan mereka tetapi enggan mengulas lanjut.

SPRM, Nikah Palsu

Artikel Lain