KUALA LUMPUR: Gara-gara gagal menunjukkan kad pengenalan diri, seorang lelaki berpakaian wanita pada Selasa didenda RM700 atau 14 hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini. Majistret Adira Adnan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Dahalan Rosley, 24, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan diri atau sebarang dokumen pengenalan sementara di hadapan Pusat Hiburan Movida, Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini, pada 11 malam, 19 Jun lepas. Tertuduh yang memakai gaun pendek paras paha dan beg tangan kecil berbulu hitam, didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu agar dijatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia baharu sahaja dibebaskan dari penjara bagi kes dadah selain menghidapi penyakit batuk kering. - BERNAMA