KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu menggantikan Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkuat kuasa 16 Disember 2016. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengumumkan pelantikan itu berkata keputusan berkenaan dicapai melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-548 yang bersidang pada 23 Mei 2016 lalu dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hishammmudin berkata pengumuman itu dilakukan enam bulan lebih awal bagi mengelak spekulasi dibuat pihak luar dan memastikan peralihan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar selain membantu pemimpin terlibat membuat persediaan rapi. "Mesyuarat MAT bersetuju meluluskan permohonan melanjutkan perkhidmatan melebihi umur persaraan wajib selama 12 bulan bagi Zulkifeli mulai 14 Jun sehingga 13 Jun 2017 dan beliau akan mengambil cuti tahunan terkumpul serta mengikuti latihan peralihan mulai 16 Disember 2016. "Mesyuarat juga memperakukan pelanjutan tempoh perkhidmatan melebihi umur persaraan wajib selama 12 bulan untuk Raja Mohamed Affandi mulai 20 Jun 2017 sehingga 19 Jun 2018," katanya dalam sidang media di sini Selasa. Katanya mesyuarat turut mengambil maklum bahawa Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Roslan Saad akan bersara wajib hujung tahun ini namun penggantinya akan diumumkan kelak. Sehubungan itu, beliau berkata mesyuarat meluluskan permohonan melanjutkan perkhidmatan melebihi umur persaraan wajib selama enam bulan bagi Roslan mulai 28 November 2016 hingga 27 Mei 2017. Beliau akan mengambil cuti tahunan terkumpul dan mengikuti latihan peralihan bermula 21 Disember 2016. "Pada penghujung Disember tahun ini juga akan menyaksikan pelantikan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Darat yang baharu," katanya. Tambahnya, keputusan melantik Panglima Angkata Tentera dan Panglima Tentera Darat yang baharu itu dibuat secara telus bersandarkan maklum balas dan penerimaan daripada anggota serta pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan. Sementara itu, Hishammuddin yang baru sahaja pulang dari Filipina berkata mesyuarat tiga hala yang dijalankan bersama Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire T. Gazmin pada Isnin berjalan lancar dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkaitan keselamatan di Laut Sulu. Hishammuddin akan ke Jakarta pada bulan depan bagi menyertai mesyuarat tiga hala bersama wakil dari Indonesia dan Filipina untuk meneruskan perbincangan mengenai kerjasama keselamatan di kawasan maritim yang mempunyai kepentingan bersama bagi ketiga-tiga negara iaitu di Laut Sulu. "Perjumpaan ini menunjukkan ada langkah untuk bertindak segera dan kemahuan politik bagi memastikan usaha antara ketiga-tiga negara boleh dilaksanakan dan menunjukkan ia berada ia dalam tahap pantas, selepas perjumpaan yang sama di Laos beberapa minggu lepas dan Manila pada Isnin," katanya. Pada mesyuarat itu, Malaysia, Filipina dan Indonesia bersetuju secara dasarnya bagi angkatan tentera masing-masing atau agensi berkaitan untuk mewujudkan Kumpulan Kerja Rondaan Maritim Tiga Hala bagi menangani isu keselamatan maritim.- BERNAMA