PUTRAJAYA: Pemandu bas cedera apabila bas yang dipandunya terbabas dan merempuh jejambat di Lebuh Perdana Barat, Presint 1 berhampiran Bangunan Perdana Putra di sini tengah hari Selasa. Rosid Daud, 47, tersepit di bahagian bawah tempat duduk pemandu dalam kemalangan kira-kira 12.40 tengah hari itu dan pihak bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya. Mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan. Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi berkata ketika kemalangan tiada penumpang dalam bas berkenaan. "Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu terbabas sendiri dan melanggar fly over," katanya. Bas berkenaan dihantar ke depoh Nadi Putra. - BERNAMA