suria

Difteria: Lebih 40 Orang Diperiksa

MELAKA: Lebih 40 orang yang mengenali seorang murid yang meninggal dunia akibat penyakit difteria di sini pada 18 Jun lepas, telah diperiksa bagi mengesan penyakit berbahaya itu, kata Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman.

Beliau berkata hasil pemeriksaan itu, dua beradik murid itu disahkan positif difteria manakala yang lainnya negatif.

"Adik beradik itu telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya.

Mereka berada dalam keadaan baik dan tiada komplikasi akibat penyakit itu.

"Selain anggota keluarga murid, kita juga melakukan pemeriksaan dalam kalangan rakannya dan melakukan pemeriksaan di sekolahnya," kata beliau kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, Rabu.

Murid berusia tujuh tahun itu, yang berasal dari Ujong Pasir di sini, meninggal dunia di Hospital Melaka akibat difteria.

Dr Ghazali berkata siasatan awal mendapati murid itu dipercayai  dijangkiti difteria pada 10 Jun lepas, sebelum dibawa ke Hospital Melaka pada 17 Jun bagi mendapatkan rawatan.

"Murid itu didapati mengalami komplikasi penyakit itu semasa dibawa ke Hospital Melaka," katanya.

Beliau berkata difteria merupakan sejenis penyakit mudah berjangkit, dan bakteria penyebab penyakit itu mudah membiak di kawasan persekitaran yang kotor.

Penyakit itu boleh dicegah dengan mengambil suntikan imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan dengan lima suntikan vaksin itu diberi pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan sebelum suntikan terakhir ketika berumur 15 tahun.

"Pada masa ini, kita hadapi kelompok yang menolak vaksinisasi...menolak program imunisasi. Apabila ada yang dijangkiti penyakit kerana tidak mengambil imunisasi, kekebalan komuniti terhadap penyakit itu akan terjejas.

"Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa program imunisasi Kementerian Kesihatan adalah selamat untuk jangka masa panjang atau pendek malah dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Difteria

Artikel Lain