PETALING JAYA: Sejumlah RM10,000 telah disumbangkan kepada Rumah Nur Sakinah pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Furama Bukit Bintang baru-baru ini. Sumbangan tersebut sebagai persedian untuk 36 anak-anak yatim pusat jagaan itu membeli kelengkapan sempena sambutan raya dan bagi menampung kos membaiki rumah. Menurut Pengurus Furama Bukit Bintang, Chua Adrian, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan. “Mereka yang tinggal di sana mengharapkan sumbangan orang ramai dari segi makanan, pakaian, pendidikan dan juga sewa rumah. “Furama Bukit Bintang percaya dengan sumbangan yang diberikan ia mampu mewujudkan suasana harmoni dan sedikit sebanyak membantu golongan yang memerlukan. Rumah anak yatim yang dibina pada 2012 di bawah Yayasan Kebajikan ini terletak di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. Kesemua anak-anak ini berumur di dalam lingkungan empat hingga 13 tahun.