suria

Batuan Longgar Jadi Ancaman Ketika La Nina

-foto THE STAR/Azhar Mahfof
PETALING JAYA: Struktur longgar batuan granit dan separa tertanam di cerun-cerun bukit di sepanjang jalan raya di sekitar negara ini boleh menjadi satu masalah besar apabila bermulanya La Nina, yang akan membawa kepada hujan lebat.

Di Pulau Pinang sebagai contoh, Jabatan Kerja Raya sedang berdepan dengan isu ini.

Kumpulan jurutera telah mengeluarkan banyak batu-batu longgar di Jalan Tun Sardon, jalan berbukit di Pulau Pinang dari Paya Terubong ke Balik Pulau dan Bayan Lepas, kata Pengarah Jabatan negeri Salleh Awang.

"Cabaran yang dihadapi adalah banyak batu-batu ini di atas bukit terletak di atas tanah persendirian.

"Kerja-kerja untuk mengeluarkan batu-batu ini adalah satu keperluan dan boleh merosakkan bentuk muka bumi atau pokok-pokok durian di situ.

"Kami telah memberitahu beberapa pemilik tanah untuk memerhatikan risiko tanah runtuh semasa cuaca lembab," katanya.

Runtuhan batu-batu granit di sepanjang jalan pada 28 Mei hampir membunuh pemandu yang lalu-lalang, manakala batu besar, dianggarkan dengan berat 20 tan dan menyamai ketinggian seorang lelaki telah mengenai bahagian kiri sebuah kereta dan membuatkan ia terperangkap.

Salleh berkata kumpuylan juruteranya telah menyiasat kejadian runtuhan batuan itu dan mendapati ia adalah satu kejadian semula jadi yang disebabkan oleh hujan lebat yang melonggarkan tanah yang telah kehilangan tumbuh-tumbuhan pelindung semasa kemarau awal tahun ini.

Pakar-pakar cerun telah menjalankan pemeriksaan di jalan raya di Pulau Pinang pada 7 Jun dan memberi amaran bahaya air dan tanah runtuh di Jalan Teluk Bahang antara Balik Pulau dan Batu Ferringhi.

"Di sekitar selekoh tajam di sepanjang jalan ini, air akan bertakung ketika hujan sangat lebat. Kereta-kereta perlu dipandu perlahan di sana.

"Kami telah menghantar orang untuk membersihkan semua longkang dan memastikan air hujan mengalir dengan lancar tetapi cerun curam dan dedaunan yang luruh boleh membuatkan longkang tersumbat dengan cepat ketika ribut," kata Salleh.

Di seluruh negara, JKR telah mengenal pasti 2,576 cerun berbahaya pada peta kawasan berisiko tanah runtuh di jalan-jalan persekutuan.

Daripada jumlah itu, 992 telah ditandakan sebagai 'paling berbahaya' dan memerlukan kerja-kerja pengukuhan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain Pulau Pinang, cerun-cerun juga dikenal pasti di Cameron Highlands, Lojing, Hulu Terengganu, Hulu Perak, Ampang (Selangor), Ipoh, Kuala Lumpur, Kundasang dan Sandakan di Sabah, serta Kapit dan Miri di Sarawak.

Bagi memantau dan membaiki cerun berbahaya, JKR telah menjalankan kaji selidik di seluruh jalan-jalan persekutuan, tidak termasuk lebuh raya bertol.

"Bagaimanapun, masih terdapat banyak cerun berisiko tinggi di tempat lain," kata Fadillah.

Ia akan menelan kos berbilion ringgit untuk membaiki dan mengukuhkan semua cerun berbahaya, katanya.

"Kami melaksanakan program pengukuhan cerun secara berperingkat mengikut keutamaan dan ketersediaan dana," katanya.

Bajet untuk JKR hanya untuk memastikan keselamatan cerun di sepanjang jalan persekutuan.

"Bagi jalan-jalan di bawah bidang kuasa negeri dan majlis tempatan, kosnya ditanggung oleh kerajaan negeri manakala JKR menyediakan bantuan teknikal."
La Nina, granit, cerun curam, JKR

Artikel Lain