ASSALAMUALAIKUM. Ramadan dikaitkan dengan bulan bersedekah. Justeru, sebahagian besar umat Islam merebut untuk menyumbang, bersedekah, infak dan wakaf pada bulan penuh keberkatan ini, yang kian hampir ke penghujung. Bagi mereka yang berkemampuan, sudah tentu sedekah pada bulan penuh rahmah ini menjadi keutamaan. Tidak kiralah kepada sesiapa sahaja, anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan golongan istimewa. Teringat saya pada pesanan seorang ustaz ketika menghadiri kuliah dhuha di sebuah madrasah, setiap hari kita perlu bersedekah. Jika ada sedikit beri sedikit dan jika ada banyak, sedekahlah dengan banyak. Paling penting ikhlas. Setiap kali berkunjung ke Tanah Suci, saudara-mara sering meminta saya menyalurkan sumbangan atau sedekah kepada orang di sana, sama ada kepada pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti di Madinah ataupun pekerja yang membersihkan sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Ada juga yang meminta agar sumbangan disalurkan untuk keperluan jemaah umrah seperti menyediakan nasi mandy atau apa sahaja bentuk makanan kepada jemaah. Tidak kurang jug yang meminta agar memberikannya kepada pengemis di sekitar Masjidil Haram dan mewakafkan al-Quran di dalam kedua-dua masjid. Pelbagai cara untuk menghulurkan bantuan terutama jika anda berpeluang menjejakkan kaki ke dua kota suci Madinah dan Makkah. Sebahagian besar mereka yang berpesan mahu saya memberi bantuan kewangan kepada penerima di sana. Namun, selain berbentuk kewangan, jemaah juga sebenarnya boleh merebut peluang untuk bersedekah pelbagai lagi barangan, makanan dan minuman kepada tetamu Allah serta mereka yang bekerja di sana. Beberapa tahun lalu, ketika mendengar tazkirah daripada Ustaz Khairul, bekas penuntut Universiti Ummul Qura di Makkah, berpesan kepada jemaah umrah agar membawa bekalan makanan dari tanah air, contohnya gula-gula, coklat atau biskut yang sudah dipek untuk disedekah kepada jemaah umrah di Tanah Suci. “Tidak ramai jemaah Malaysia terfikir untuk berbuat demikian. Saya nasihatkan agar buatlah begitu kerana besar ganjarannya. Bayangkanlah setiap amal ibadat kita dilipatkan gandakan 100,000 di Makkah,” katanya ketika memberi tazkirah selesai solat Isyak kepada jemaah umrah dari Malaysia. Menurutnya, ramai jemaah umrah dari Turki dan negara Teluk berbuat demikian. Keadaan ini wajar menjadi contoh kepada jemaah umrah dari Malaysia. “Beli gula-gula di dalam pek dan berilah kepada jemaah di sekitar anda ketika duduk di dalam masjid. Mereka pasti gembira,” pesan Ustaz Khairul lagi. “Cuba perhatikan di sekitar dataran Kaabah. Kadangkala kita ternampak ada orang mengutip sampah seperti tisu, botol mineral, kertas gula-gula, biskut atau biji tamar. Mengapa mereka berbuat demikian? Itu semua untuk merebut pahala. Mungkin kita tidak terfikir untuk berbuat demikian tetapi Alhamdulillah, ada jemaah lain yang sanggup melakukannya,” ujarnya. Selepas mendengar tazkirah beliau, saya turut berpesan kepada rakan-rakan jemaah atau sesiapa sahaja yang saya tahu mahu melangkah ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Terpulang kepada mereka untuk mempraktikkannya atau sebaliknya. Tidak dinafikan sebahagian besar jemaah umrah Malaysia gemar menghulurkan sumbangan kepada kakitangan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tetapi terlupa banyak lagi amalan yang boleh dikejar serta direbut apabila kita memperkatakan mengenai amal kebaikan. Jika mahu menunaikan umrah, bawalah gula-gula dari tanah air dan berikannya kepada jemaah umrah tidak kiralah sama ada tua ataupun si kecil. Anda tentu seronok apabila melihat mereka ternanti-nantikan pemberian anda apabila terlihat anda mengeluarkan sesuatu dari tas tangan. Selain gula-gula, biskut atau coklat, anda juga boleh membeli pek kecil tisu dan memberikannya kepada setiap jemaah umrah ataupun haji. Bersedialah dengan bekalan makanan dari tanah air untuk memudahkan anda menyumbang di Tanah Suci. Jika hendak membeli di Tanah Suci mungkin anda kurang arif dan nilai mata wang Arab Saudi juga lebih tinggi, jadi, sebaik-baiknya, sediakan semua itu sebelum berangkat. Fikirkan setiap usaha untuk dilaksanakan sebelum melangkah ke bumi Haramain. Dengan erti kata lain, rancanglah setiap yang mahu anda sumbang apabila bergelar tetamu Allah SWT. Pernah saya terlihat dua lelaki muda memegang kotak tisu di dataran Kaabah dan menyuakannya kepada jemaah yang sedang bertawaf. Ketika itu cuaca panas dan sudah tentu jemaah bermandi peluh ketika bertawaf dan kegunaan tisu amat diperlukan pada waktu itu. Kita nampak mudah dan ringan tetapi ganjaran yang bakal diperoleh hanya Allah sahaja yang membalasnya. Saya juga pernah terlihat bagaimana seorang lelaki berusia terbongkok-bongkok mengutip sampah di sekitar dataran Kaabah. Mulanya saya ingat lelaki itu mencari barang yang hilang tetapi di tangan kirinya memegang beg plastik berisi sampah. Di dalam masjid pula ada jemaah umrah yang akan mengutip cawan plastik air zamzam yang sudah diminum. Semua itu mungkin tidak terfikir di dalam kepala kita untuk membantu pekerja Masjidil Haram atau Masjid Nabawi kerana sebahagian besar yang melakukannya adalah warga dari negara lain. Ada juga jemaah yang ringan tulang untuk mengambilkan air zamzam kepada jemaah lain. Contohnya, mereka sanggup duduk berhampiran tong air zamzam dan memberikannya kepada setiap jemaah yang hendak minum. Saya kagum dengan inisiatif mereka dan wajar sekali diteladani. Mungkin kita segan atau kekok untuk melakukan kerja-kerja seumpama itu seperti mengutip sampah, mengangkat cawan plastik bekas air zamzam dan memberi air zamzam kepada jemaah selepas solat fardu, tetapi hakikatnya semua itu wajar dilaksanaan. Pelbagai cara untuk merebut ganjaran di kota suci dan sewajarnya setiap daripada kita boleh memikirkannya dan antara yang turut boleh dilaksanakan termasuk membantu golongan kurang upaya yang menggunakan kemudahan kerusi roda. Contohnya, kita ternampak waris mereka menolak warga emas atau orang kurang upaya, maka hulurkan bantuan dengan membantu bersama-sama menolaknya terutama ketika menaiki bukit Safa dan Marwah ketika bersaie. Bukan mudah menolak jemaah yang duduk di atas kerusi roda apatah lagi jika bertubuh besar. Justeru, ringankan tangan dan hulurkan bantuan anda untuk menolong mereka. Selain itu, di dalam masjid, jemaah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mengambil air zamzam kepada jemaah lain. Kadangkala ada jemaah warga tua atau uzur yang memerlukan bantuan, jadi, usah lepaskan peluang membantunya. Bantuan juga boleh dihulurkan jika jemaah mahu mengambil al-Quran di atas rak kitab itu yang mungkin jauh daripada mereka atau jemaah menghadapi masalah untuk berdiri atau berjalan. Hulurkan bantuan anda dengan mengambil al-Quran jika dikehendaki dan usah lupa meletakkannya semula di atas rak apabila dikehendaki. Pelbagai usaha boleh dilaksanakan ketika anda bergelar tetamu Allah. Tidak kiralah apa sahaja yang mahu anda lakukan, tetapi hakikatnya, terlalu banyak cara untuk berbuat kebaikan dan amal apabila bergelar duyufurahman. Banyak lagi amal kebaikan boleh dilaksanakan oleh tetamu Allah SWT, paling penting ikhlas dan kreatif untuk menghulurkan pertolongan, kemudahan dan keselesaan jemaah lain, yang sekali gus sedikit sebanyak meringankan tugas kakitangan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi jika melibatkan tugas-tugas memelihara kebersihan masjid. Bersambung minggu hadapan, insyaAllah.