suria

Buat Kecoh Di Balai, Dua Lelaki Dipenjara Empat Hari

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dan seorang pekerja sambilan dipenjara empat hari dan didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis setelah mengaku bersalah melakukan kekecohan di sebuah balai polis di sini.

Majistret Nur Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas M.Saravanan, 38, dan Muhamad Hasanan Shariff, 28, selepas mereka mengaku bersalah melakukan kekecohan di Balai Polis Batu, Jinjang di sini pada 7.45 malam, 21 Jun lepas.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 10 hari jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda yang boleh sampai RM500 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh bagaimanapun Saravanan dan Hasanan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana mereka menanggung ibu dan adik-beradik.

Mengikut fakta kes, Saravanan pergi ke balai polis itu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu ada orang ingin mencederakannya.

Kemudian, Hasanan tiba dan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka yang turut disertai dengan perbuatan cabar mencabar di antara satu sama lain. 

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan