suria

NGO Minta Gubal Dasar Larang Lupus Lebihan Makanan

BANGI: Kerajaan perlu menggubal dasar yang melarang pengendali, pasar raya dan pengeluar di negara ini daripada melupuskan lebihan makanan, kata Food Aid Foundation (Food Aid).

Pengarah projek pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Hayati Ismail, berkata rakyat Malaysia membazirkan 15,000 tan makanan, termasuk 3,000 tan makanan yang masih boleh dimakan, setiap hari.

Katanya, Malaysia patut mencontohi Perancis dan Itali, yang melarang pengendali makanan dan pasar raya membuang atau memusnahkan makanan.

"Pengendalian makanan secara komprehensif dan betul boleh menyelamatkan  lebihan makanan daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah dan sebaliknya disalurkan kepada rumah amal/kebajikan yang menempatkan insan kurang bernasib baik. Ini akan menjimatkan perbelanjaan mereka terhadap makanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Love Food, Hate Waste' (Sayangilah Makanan, Bencilah Pembaziran), di sini malam tadi.

Kempen itu merupakan projek perintis, yang menyaksikan Hotel Bangi-Putrajaya (HBP) dan Bangi Gold Resort (BGR) berganding bahu dengan Food Aid, untuk bergiat aktif dalam menyelamatkan lebihan makanan di Lembah Klang dan mengagihkan makanan yang masih berkualiti kepada badan amal/kebajikan.

Ia juga merupakan inisiatif bagi menyokong program MySaveFood anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Sejak 2013, Food Aid, yang bertindak sebagai bank makanan, mempelawa  pengeluar, pengedar, pemborong, peruncit dan syarikat menyumbang makanan yang mereka tidak gunakan atau tidak lagi ingini, untuk diambil dan diserah kepada rumah amal/kebajikan, pertubuhan kebajikan sukarela, komuniti pelarian, keluarga miskin, golongan gelandangan dan badan penyedia makanan secara percuma kepada golongan kurang bernasib baik.

"Kami kumpul makanan mudah rosak dan tahan rosak serta menyediakan semula makanan itu di dapur pusat kami di Cheras, Kuala Lumpur, sekiranya perlu, sebelum mengagihkannya kepada pertubuhan amal dan rumah kebajikan di Lembah Klang dan Rawang.

"Kira-kira 6,600 orang mendapat manfaat daripadanya setiap bulan.

Bagaimanapun, kami masih menghadapi kekurangan makanan untuk diberi kepada setiap orang. Oleh itu, saya harap setiap orang sudi tampil untuk menyumbangkan makanan kepada kami bagi membantu mereka yang memerlukannya," kata beliau.

Sementara itu, pengarah HBP dan BGR, Soh Chung-Ky, berkata lebihan makanan yang didapati daripada hotel akan disimpan hingga setahun di dalam peti penyejuk beku, manakala pengendalian makanan dilakukan dengan menggunakan teknologi terkini, peralatan termoden dan amalan terbaik.

Menurut beliau, HBP dan BGR membuat pelaburan bagi mendapatkan teknologi dan kelengkapan dapur terkini serta menyempurnakan kaedah mengekalkan kesegaran makanan, tanpa mengorbankan rasa dan kualiti serta jaminan keselamatan makanan.

"Lebihan makanan ini selamat untuk dimakan. Tiada pengawet digunakan.

Makanan disimpan dalam suhu terkawal dengan menggunakan 'blast chiller' dan 'combi-oven' di dapur kami.

"Teksturnya mungkin tidak menepati standard hotel berkenaan, tetapi Food Aid akan merekayasa makanan itu di dapur pusatnya sebelum mengagihkannya kepada pertubuhan amal/kebajikan," kata Soh.

Sejajar dengan itu, kata beliau, Ramadan ini, HBP dan BGR akan memulakan cubaannya untuk menyelamatkan lebihan makanan daripada alat pemanas mereka yang tidak diberi kepada golongan memerlukan melalui Food Aid.

"Dalam masa hanya 15 hari, kami berjaya menyelamatkan 120 kilogram makanan mengandungi daging dan 31 kilogram makanan pencuci mulut, yang bersamaan dengan 600 hidangan. Ini adalah permulaan yang baik dalam membantu mengurangkan pembaziran makanan yang masih sesuai dimakan," katanya.

Artikel Lain