PETALING JAYA: Berita gembira buat kira-kira 300 pekerja Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) apabila tunggakan gaji selama dua bulan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi akan dilunaskan pada Isnin depan. Berita itu sekaligus menepati jaminan yang diumumkan oleh syarikat penerbangan carter itu pada Selasa lalu untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji seawal-awalnya minggu depan, sebelum Aidilfitri. Jurucakap Eaglexpress yang mengesahkan perkara itu kepada mStar Online berkata, ia diumumkan secara rasmi menerusi memo yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan kepada semua kakitangan pada Khamis. “Pihak pengurusan telah mengeluarkan memo kepada semua kakitangan dengan memaklumkan bahawa tunggakan gaji selama dua bulan iaitu April dan Mei akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing pada 27 Jun ini (Isnin). “Sehubungan itu, diharapkan semua kakitangan bersabar dan terus memberi sokongan kepada syarikat bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya kepada mStar Online. Mengenai gaji bulan Jun, jurucakap itu berkata, ia akan dimasukkan pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, seperti biasa. Ditanya mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jurucakap itu memberitahu, ia sedang diselesaikan oleh pihak pengurusan. “Pada peringkat ini adalah melunaskan dua bulan gaji yang tertunggak. Kita akui syarikat berdepan dengan masalah kewangan sebelum ini tetapi perniagaan kini kembali seperti biasa,” ujarnya. Sementara itu, seorang pekerja Eaglexpress turut mengesahkan menerima memo berhubung bayaran tunggakan gaji itu daripada pihak pengurusan. "Saya anggap ia sebagai berita gembira di saat Aidilfitri yang bakal tiba. Bagaimanapun, saya berharap ia janji syarikat dan bukan satu harapan palsu," katanya yang enggan dikenali. Seorang lagi pekerja berkata, dia dan beberapa rakan setugas mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' berhubung pengumuman yang dibuat pihak pengurusan. "Kita akan tunggu Isnin ini. Jika benar, diharapkan ia diberikan kepada semua kakitangan, dan bukan hanya untuk mereka yang diarahkan untuk datang bertugas demi melancarkan operasi penerbangan," katanya sambil menambah isu tunggakan gaji membabitkan semua kakitangan. Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso. Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari lalu. Bagaimanapun ia masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja' berdasarkan permintaan dan keperluan pekerja, berikutan sumber kewangan syarikat yang terhad. Eaglexpress pada Selasa lalu memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya seawal-awalnya minggu depan, iaitu sebelum Aidilfitri, susulan perniagaan syarikat penerbangan itu kembali normal. Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan umrah dan haji sejak 2012. Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.