KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan membantu golongan gelandangan terutama di ibu negara tidak hanya tertumpu kepada bantuan kebajikan tetapi berterusan melalui pelbagai program pembangunan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sentiasa berusaha membantu golongan gelandangan menerusi pelbagai program dari segi pendidikan, kemahiran dan pembangunan modal insan. "Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengusahakan banyak program pembangunan untuk membantu golongan gelandangan dan kita perlu beri masa untuk mereka berubah," kata Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, kepada pemberita, di sini. Beliau berkata demikian pada program Cakna Gelandangan anjuran Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda UMNO di Chow Kit di sini. Sebanyak 200 mahasiswa dari pelbagai universiti seluruh negara bersama turun padang menyumbangkan makanan dan keperluan kepada golongan gelandangan di kawasan tersebut.