KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil masa hampir setahun sebelum akur dengan desakan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memecat Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, kata Tan Sri Annuar Musa. Annuar yang merupakan Ketua Penerangan Umno dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Jawatankuasa Disiplin Umno telah mengemukakan penemuannya terhadap kes pelanggaran disiplin oleh dua pemimpin itu. Jawatankuasa itu mendapati ada kes 'prima facie' terhadap mereka, tetapi menyerahkan kepada MT untuk membuat keputusan, katanya. Annuar berkata, walaupun diasak bertubi-tubi oleh anggota MT untuk mengambil tindakan terhadap kedua-duanya, Najib masih lagi bertanya adakah keputusan yang dibuat MT itu sebulat suara, adakah sesiapa yang tidak bersetuju atau mempunyai lain-lain pandangan. "Akhirnya MT membuat keputusannya secara sebulat suara," katanya. Sementara itu, Pergerakan Puteri Umno turut menyokong pemecatan itu serta keputusan menggantung keanggotaan Mohd Shafie. Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan tersebut sepatutnya telah lama dilaksanakan kerana terlalu banyak tindakan yang dibuat oleh mereka mencalarkan imej parti. "Tindakan ini dilihat wajar di kala Umno mula merapatkan perpaduan parti. Dikhuatiri jika tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani kemelut tindakan mereka, ia boleh berubah menjadi barah," katanya. - Bernama