PETALING JAYA: Daripada menghabiskan wang untuk membeli gajet yang mahal, golongan muda di negara ini membuat simpanan untuk memiliki rumah pertama mereka. Walaupun kebanyakan generasi Y (Gen Y) mengelak untuk memiliki hartanah sendiri di negara-negara membangun dan bandar-bandar besar, permintaan daripada golongan itu masih kukuh, terutama dengan ibu bapa mereka membantu dari segi bayaran pendahulu. Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha), DatukSeri F.D Iskandar. Gen Y dirujuk sebagai golongan yang lahir pada awal 80-an sehingga lingkungan 2000. Menurut Bank Negara, permintaan dari pembeli pertama kali termasuk generasi muda terus kukuh walaupun keupayaan untuk membeli rumah merupakan satu cabaran. Jelas Bank Negara lagi, golongan itu meliputi 75 peratus daripada 1.47 juta peminjam. Memiliki dan melabur rumah kekal sebagai keutamaan bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Ini dapat dilihat dalam trend pinjaman isi rumah di mana pembelian rumah terus menjadi segmen yang paling pesat berkembang dalam pinjaman perumahan, dengan pertumbuhan tahunan kekal pada paras dua angka (11 peratus pada akhir Mac 2016), menurut Bank Negara dalam satu kenyataan . Mereka yang tidak mampu dengan keupayaan sendiri, dan tidak mempunyai ibu bapa untuk membantu, akan beralih bagi mendapatkan bantuan rakan-rakan mereka. Dary Toh dalam lingkungan 30-an bersama dua rakan sekolejnya memiliki sebuah unit kondominium di Pulau Pinang, mereka berkongsi sumber mereka untuk membeli unit berkenaan lima tahun lalu. "Ia merupakan kawasan premium dan memandangkan kami tidak mampu untuk mempunyai rumah sendiri, sekurangnya-kurangnya untuk hartanah premium, kami menjadi rakan kongsi." Penasihat kewangan, Yap Ming Hui berkata, adalah wajar untuk memiliki rumah sendiri. "Sudah tentu Gen Y di sini masih mempunyai keinginan untuk membeli. Anda bayar ansuran dan seterusnya memiliki sebuah rumah. Hanya mereka yang tidak mampu membeli terpaksa menyewa."