suria

Difteria: Penyakit Akibat Sikap Ibu Bapa, Masyarakat

MELAKA: Negara baru-baru ini digemparkan dengan kematian dua kanak-kanak masing-masing di negeri ini dan Kedah oleh penyakit difteria yang sebelum ini menurut pakar perubatan adalah penyakit dalam bahagian sejarah dalam buku teks perubatan.

Difteria menjadi teks sejarah dalam bidang perubatan kerana sejak sekian lama ia dapat dicegah dengan pemberian vaksin, namun dewasa ini sikap sesetengah ibu bapa dan anggota masyarakat sendiri menyebabkan penyakit itu kembali menjadi igauan ngeri.

Pakar perubatan kanak-kanak Datuk Dr Musa Nordin berkata penyakit seperti difteria mampu dicegah dengan vaksin tetapi beliau kehairanan dengan sikap sesetengah ibu bapa dan masyarakat yang bersikap sambil lewa atau menolak terus langkah pencegahan yang mampu menyelamatkan nyawa anak mereka.

"Penyakit seperti difteria ini sekarang telah dibasmi, dihapuskan, tetapi sekarang datang balik, dalam kalangan siapa?. Kalangan kanak-kanak tidak terima vaksin, yang mana lebih burukkan keadaan ibu bapa enggan dapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.

"Satu dunia wabak datang kembali bukan sahaja difteria tetapi penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin seperti campak, batuk kokol dan kancing gigi akibat sikap ibu bapa dan anggota masyarakat sendiri. Tentunya ini keadaan yang amat-amat merisaukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Jun lepas, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia di negeri ini akibat difteria dan 22 Jun, seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun di Kedah meninggal dunia akibat penyakit sama, yang menurut Kementerian Kesihatan kedua-dua kes tidak menerima imunisasi difteria lengkap.

Jumaat lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata terdapat 500 kes ibu bapa yang menolak suntikan vaksin dicatat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dr Musa berkata sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah tegas dengan menukar strategi pemberian vaksin kepada sesuatu yang diwajibkan kepada setiap kanak-kanak demi melindungi mereka daripada sikap 'tidak masuk akal' ibu bapa dan masyarakat yang menolak pemberian vaksin.

"Benar sekarang ramai kanak-kanak, antara 90 hingga 95 peratus, mengambil vaksin tetapi dalam perkembangan semasa semakin ramai menolak vaksin maka kerajaan perlu ambil langkah tegas, hanya kanak-kanak seperti pesakit leukemia, barah dan Aids dibolehkan tidak diberi vaksin," katanya.

Beliau berkata kerajaan boleh mengambil contoh dasar 'No Jab, No Play' di Australia yang tidak membenarkan kanak-kanak tidak divaksin mendaftar di pusat pendidikan awal dan dasar 'No Jab, No Pay' di negara sama yang menyekat pemberian 'child benefit' kepada kanak-kanak tidak divaksin.

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Prof Datuk Dr Abd Rahim Mohamad berkata kehilangan nyawa, terutamanya kanak-kanak yang ditanggungjawabkan kepada ibu bapa mereka, oleh penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin adalah sesuatu yang amat dikesali.

Beliau berkata penyakit seperti difteria timbul semula apabila ibu bapa enggan mendapatkan vaksin untuk anak mereka terutama akibat salah faham masyarakat yang mendapat maklumat daripada sumber terbuka seperti media sosial yang tidak diketahui kredibiliti dan tahap keilmuannya.

"Pendirian menolak vaksin juga berpunca daripada mendengar hujah agama mengenai status vaksin daripada kelompok agamawan tiada keahlian dalam ilmu dan perihal perubatan yang rumit. Kami menyeru lebih ramai agamawan berwibawa menyampaikan fakta benar mengenai vaksin dan menghindar prasangka tidak benar.

"Masyarakat tidak boleh fikir mudah mengatakan zaman dahulu tiada masalah walaupun tiada vaksin. Hakikatnya dunia hari ini terdapat pelbagai penyakit baharu dan juga kemudahan pergerakan antara negara dan benua mendedahkan masyarakat kepada 1,001 penyakit dari serata dunia," katanya.

Dr Abd Rahim berkata persatuan itu memandang proses pemberian vaksin itu adalah amat menepati saranan syariat Islam yang meletakkan penjagaan nyawa atau hifz an-nafs sebagai antara maqasid yang diberikan keutamaan.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman berkata kegagalan atau keengganan ibu bapa mendapatkan vaksin untuk anak mereka bukan sahaja membahayakan nyawa anak-anak dan anggota keluarga, malah anggota masyarakat yang lain.

Beliau berkata dengan lebih ramai mendapatkan vaksin, sesebuah kelompok masyarakat mendapat bentuk perlindungan dinamakan 'herd immunity' yang membolehkan anggota masyarakat itu dilindungi daripada penyakit.

"Penyakit seperti difteria ini akan dapat dikawal apabila anggota masyarakat itu mendapatkan vaksin, seterusnya menjadikan kelompok mereka imun terhadap jangkitan, tetapi apabila semakin kurang anggota masyarakat mendapatkan vaksin kesan perlindungan 'herd immunity' itu akan berkurangan.

"Datang pula difteria yang amat mudah berjangkit terutama dalam persekitaran didiami masyarakat itu kotor. Jika ada anggota masyarakat itu dijangkiti, penyakit itu akan lebih mudah merebak jika kekuatan perlindungan 'herd immunity' itu lemah," katanya.

Difteria

Artikel Lain