PETALING JAYA: Pengumuman pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air baru-baru ini seolah-olah menggelapkan masa depan kira-kira 400 pekerja syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu. Dengan Aidilfitri yang menjelang berbaki kurang dua minggu lagi, nasib kakitangan yang sebahagiannya beragama Islam hanya tinggal harapan buat mereka yang mahu meraikan perayaan itu bersama keluarga dalam suasana gembira. Dugaan itu sekali gus mengingatkan para pekerja kepada ‘janji’ pihak pengurusan Rayani Air yang akan menyelesaikan tunggakan gaji sebelum 1 Syawal. Wakil pekerja Rayani Air, Zulkalnain Azdan berkata, tuntutan tunggakan gaji daripada pemilik syarikat penerbangan itu masih diteruskan berikutan keadaan mereka yang semakin parah sejak tiga bulan lalu tanpa sumber pendapatan tetap, sejurus penggantungan operasi. Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menegaskan bahawa pembatalan lesen itu bukan alasan untuk pemiliknya, Ravi Alagendrran dan Datuk Karthiyani Govindan bersikap lepas tangan. “Ravi dan Datuk Karthiyani perlu bertanggungjawab sebagai pemilik Rayani Air. Mereka perlu tahu gaji pekerja selama tiga bulan masih tertunggak sehingga kini. “Mereka sebelum ini memberi jaminan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum Aidilftri. Kita berharap mereka mengotakan janji itu,” katanya kepada mStar Online. Menurut Zulkanain, kebanyakan pekerja Rayani Air kini susah, dengan kehidupan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan ada yang terpaksa berhutang. Tambahnya, terdapat pekerja berdepan dengan masalah tidak dapat membayar pinjaman sehingga kereta mereka ditarik, rumah hampir di sita dan terpaksa menumpang rumah keluarga dan rakan-rakan. “Dengan hari raya yang semakin hampir, kami tak ada wang untuk berbelanja untuk meraikannya, walaupun sekurang-kurangnya untuk anak-anak kami. “Kami berharap Ravi dan Karthiyani mempunyai perasaan dan mendalami nasib kami, setidak-tidaknya fikirkan nasib keluarga dan anak-anak kami,” ujarnya dengan nada sebak. Zulkalnain berkata, beliau bersama rakan-rakan pekerja lain akan menunggu sehingga Aidilfitri bagi pemilik Rayani Air melunaskan tunggakan gaji selama tiga bulan berjumlah kira-kira RM4.5 juta. “Gaji kami tertunggak selama tiga bulan, bukannya sebulan. Kerana selama tiga bulan, kami masih sebagai pekerja Rayani Air tanpa dibatalkan perkhidmatan. “Kami akan tunggu sehingga Aidilfitri seperti yang dijanjikan. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik Rayani Air gagal membayar tunggakan gaji kepada kami,” tegasnya. Pada 25 Mei lalu, menerusi kenyataan bersama Ravi dan Karthiyani, pemilik syarikat penerbangan itu memberi jaminan pembayaran balik tambang penumpang dan tunggakan gaji pekerja akan diselesaikan sebelum Aidilfitri. Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Mavcom mengumumkan lesen perkhidmatan udara (ASL) Rayani Air dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, kerana melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial. Mavcom membuat penilaian terhadap Rayani Air susulan penggantungan sementara Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan itu selama tiga bulan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu.