KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas pelancong maut selepas motosikal yang ditunggangnya gagal mengelak sebuah bas mini yang sedang membuat pusingan U di Jalan Lintas, berhampiran Iramanis, malam Ahad. Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa Yusri Ag Yusof, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang datang dari arah Lintas menuju Inanam gagal mengelak bas mini berkenaan yang dikatakan cuai membuat pusingan U di lokasi kejadian. Pemandu bas mini yang datang dari arah Bukit Padang itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987. - BERNAMA