suria

1.6 Juta Kenderaan Di Lebuhraya Plus Sempena Aidilfitri

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) setiap hari khusus pada waktu puncak sempena cuti sambutan Aidilfitri, bermula 1 hingga 10 Julai ini.

Justeru, pengguna disaran merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh pengendali lebuh raya itu bagi mengelak kesesakan.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd Hamid berkata TTA tersebut membantu pengguna menikmati perjalanan selesa dan lancar untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota.

Beliau berkata TTA itu dirangka bagi mengelak jumlah besar bilangan kenderaan daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan di laluan-laluan utama, plaza tol dan kawasan rehat.

Pengguna dinasihatkan mematuhi jadual TTA bagi mengelak punca kesesakan teruk seperti berlaku pada tahun-tahun lepas, katanya pada sidang media, di sini Isnin.

TTA yang diperkenalkan sejak 2007 merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.

Mengikut jadual TTA, pengguna jalan raya dari Lembah Klang ke Perlis dan Kedah disaran memulakan perjalanan dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

Bagi mereka yang hendak ke Pulau Pinang, Perak (Utara), dan Perak (Tengah) pula disaran bergerak pada 10 pagi hingga 6 petang.

Pengguna jalan raya dari Lembah Klang menuju ke Perak (Selatan) dan Selangor disaran memulakan perjalanan selepas pukul 6 petang manakala mereka yang menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka digalakkan memulakan perjalanan selepas 3 petang.

Mereka yang menuju ke Johor pula disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi sehingga 3 petang.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor ke Lembah Klang dicadangkan memulakan perjalanan sebelum 11 pagi atau selepas 5 petang.

Noorizah berkata Plus turut menyusun pelbagai pendekatan bagi memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan tahun ini antaranya menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi terpilih dan membuka tandas bergerak sementara di kawasan rehat utama.

Plus juga akan menempatkan lebih 2,300 petugas di plaza-plaza tol dan pemantauan trafik dari udara, katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menawarkan rebat sehingga 30 peratus bagi pengguna kenderaan kelas 1 pada hari-hari bukan puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai yang melibatkan perjalanan melebihi 100km.


Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat trafik terkini, boleh menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, laman Twitter PLUSTrafik, atau memuat turun aplikasi 'PLUS Mobile'.
Aidilfitri, PLus, TTA

Artikel Lain