KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Masing kecewa apabila pemimpin dari Sarawak tidak dilantik untuk mengisi jawatan menteri yang dikosongkan Datuk Seri Douglas Uggah Embas. "Sebagai pemimpin dari Sarawak, saya kecewa posisi Uggah diberikan kepada seorang ahli politik dari Semenanjung Malaysia. "Kami kehilangan seorang menteri penuh dan sebagai ganti rugi, Datuk Henry Sum Agong dilantik sebagai Timbalan Menteri," katanya. Henry dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Namun, Masing berkata beliau menerima dan menghormati pelantikan menteri-menteri Kabinet yang merupakan hak mutlak perdana menteri. Uggah meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri sejurus Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei lalu. Dalam rombakan Kabinet pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong untuk menggantikan jawatan Uggah meskipun timbul khabar angin posisi itu akan diberikan kepada seorang pemimpin dari Sarawak. Tempoh dua penggal Senator Datuk Seri Idris Jala yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berakhir pada Ogos lalu. Tujuh daripada 37 menteri Kabinet adalah dari Sarawak sebelum berlaku rombakan. Jumlah itu bagaimanapun kini dikurangkan kepada lima - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Datuk Joseph Entulu Belaun.