KUALA LUMPUR: Meskipun mengetahui terdapat ubat yang dijual di kedai-kedai atau menerusi Internet tidak berdaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan, namun masih ada yang mahu membelinya. Pakar Psikologi Klinikal Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Noh Amit berkata perkara itu berlaku kerana psikologi sesetengah individu menganggap semua ubat yang dijual di pasaran terbuka bersifat penyembuh, selamat dan berkesan. "Anggapan itu tercetus berikutan mereka masih kurang faham tentang kepentingan penggunaan ubat-ubatan yang perlu disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan," katanya. Beliau berkata atas kurang kefahaman dan tidak mempunyai maklumat mengenai bahaya serta kesan sampingan ubat itu, menyebabkan terdapat segelintir orang menjadi pelanggan kepada ubat yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. "Didorong dengan sikap masih belum bersedia untuk membincangkan masalah kesihatan secara terbuka kepada pengamal perubatan menyebabkan mereka ini sanggup membeli ubat yang berkemungkinan boleh memudaratkan kesihatan," katanya. Dr Noh berkata selain itu, faktor ketagihan individu terhadap sesetengah ubat tidak berdaftar juga antara penyebab pengambilan berterusan ubat yang dijual di kedai-kedai dan melalui Internet. "Apabila ubat ini mudah didapati di pasaran Malaysia dan dijual secara terbuka termasuk di kaki lima, di kedai runcit, premis kecantikan dan pasar, dengan harga mampu milik malahan tanpa memerlukan preskripsi pengamal perubatan berdaftar, ia akan terus dibeli oleh pengguna," katanya. Bagi menangani masalah sedemikian, Dr Noh berkata orang ramai perlu mendidik diri untuk menjadi pengguna bijak dengan mendapatkan maklumat ubat-ubatan yang dibeli serta berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, khidmat nasihat kesihatan dan merujuk mengenai preskripsi ubat yang perlu diambil. "Orang ramai jangan terlalu cepat percaya dengan testimoni keterlaluan tanpa mengenal pasti produk itu terlebih dahulu. "Sebagai pembeli, mereka perlulah membeli ubat berdaftar di farmasi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan mereka boleh menyemak ubat yang mereka ambil untuk pengesahan dengan Bahagian Farmasi," katanya. Dr Noh mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan lebih agresif dan berterusan mendidik pengguna mengenai ubat-ubatan ini, selain mempertingkat penguatkuasaan terhadap pengimportan, pengeluaran dan penjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar. "Serbuan dan tindakan perundangan yang tegas terhadap premis dan individu yang menjual ubat terlarang dan tidak berdaftar perlu dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan yang jitu dengan penglibatan pihak berkepentingan, sokongan kuat kerajaan dan semua golongan masyarakat diperlukan dalam menjayakan usaha membanteras ubat-ubatan beracun di pasaran. "Di pihak kami tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan dan akan dipertingkatkan lagi. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana kedai yang didapati terlibat melakukan kesalahan menjual ubat tanpa kelulusan kementerian," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya undang-undang farmasi dikuat kuasa ala koboi susulan pendedahan penjualan ubat beracun yang tidak terkawal di kedai-kedai secara terbuka. Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika membeli ubat di kedai-kedai biasa agar tidak terbeli ubat mengandungi racun. Beliau berkata orang ramai perlu memastikan ubat yang dibeli itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang mempunyai pendaftaran dan label keselamatan hologram Meditag yang diluluskan. - BERNAMA