KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik dipenjara 20 bulan oleh Mahkamah Tinggi sini pada Selasa atas tuduhan memiliki barang berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan enam keping wang palsu, Mac lalu. Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Muhammad Saiful Hashim mengaku bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman. Ab Karim memerintahkan 20 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan turut memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 22 Mac 2016. Mengikut pertuduhan pertama, Saiful, 35, didakwa memiliki pelekat IS, satu imej gambar merangkumi susunan dua senjata api AK-47, bom tangan, pistol warna hitam dan peluru dengan nama Epol Antilabel serta bendera IS yang ditemui dalam komputer riba. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki enam keping wang palsu iaitu wang kertas RM10 yang bernombor siri BE1993049 dengan menyedari wang itu palsu. Untuk kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan yang mana boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di No 56 Jalan Sekolah Derma, Kangar Perlis, jam 9.45 pagi, 22 Mac lalu. Timbalan Pendakwa Raya diwakili Muhamad Mustaffa P Kunyalam manakala Saiful diwakili peguam bela, Ad Zulkarnain Zulkafli.