KUALA LUMPUR: Seorang pekerja syarikat insurans didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan teman wanitanya. Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Yusof Md Nor, 24, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nurbaini Najid, 26, di sebuah rumah beralamat No 934, Genting Court, Setapak, Kuala Lumpur pada 2.45 petang, 26 Jun lepas. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sebulan sekiranya denda gagal dibayar. Tertuduh didakwa menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan. Menurut fakta kes berlaku pertengkaran antara pasangan kekasih itu dan tertuduh telah memaksa mangsa masuk ke dalam bilik sambil memegang sebilah pisau. Mangsa yang mengalami luka akibat terkena pisau turut ditendang di perut dan dipukul di keseluruhan badannya oleh tertuduh. Dalam rayuannya, Mohamad Yusof yang diwakili peguam 'Azi 'Azlin Zulkifli meminta hukuman yang ringan kerana tertuduh tidak dapat mengawal emosi ketika kejadian. Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainol Anwar meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh - BERNAMA