PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang menyifatkan tangkapan dan tuduhan terhadap Lim Guan Eng bukan perkara luar biasa. Ketuanya, Rafizal Abd Rahim (gambar) berkata, sebelum ini beberapa pemimpin daripada parti memerintah dan pembangkang pernah ditangkap, dituduh malah ada yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan. Menurutnya, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana perbuatan beliau membeli rumah di bawah paras harga pasaran. "Pembelian rumah yang di bawah harga pasaran ini tiada kena mengena dgn kerajaan pusat. Maka tuduhan dan cubaan utk mengaitkan kerajaan Persekutuan dan Barisan Nasional (BN) tidak berasas, meleset dan cukup terdesak. "Percayalah bahawa undang-undang negara telah dan akan dilaksanakan seadilnya, mungkin tanpa mengira pangkat, bangsa, agama atau fahaman politik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau menambah, Pemuda Pulau Pinang juga ingin menasihati penyokong Guan Eng untuk bersabar dan menanti keputusan mahkamah. "Janganlah bertindak di luar batasan dan peliharalah keharmonian dan permuafakatan sesama kaum dan terutamanya di Pulau Pinang. "Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dapat menguatkuasakan undang-undang sedia ada terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang," jelasnya. Rafizal memberitahu, pihaknya juga berharap Guan Eng diberi ruang seluas-luasnya untuk membela diri agar kebenaran yang dituntut akan terjawab.