JOHOR BARU: Kerajaan Johor mengumumkan 10 Julai sebagai cuti khas bagi penjawat awam di negeri itu sekiranya Hari Raya jatuh pada 6 Julai.
Menteri Besarnya, Datuk Mohamed Khaled Nordin bersetuju untuk menggantikan cuti khas kerajaan Persekutuan kepada penjawat awam yang dicadangkan pada 8 Julai kepada 10 Julai ini.
Ini kerana 8 Julai jatuh pada hari Jumaat iaitu cuti rehat hujung minggu di Johor.
Difahamkan kerajaan bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan jika Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai.
Namun Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.