SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Bhd (AirAsia) untuk bekerjasama mencari slogan yang sesuai bagi mempromosi Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2) sebagai hab syarikat penerbangan kos rendah di Asia. Sambil menyambut baik cadangan AirAsia untuk menjadikan klia2 hab syarikat penerbangan kos rendah, beliau berkata, kerajaan dan MAHB menyokong penuh inisiatif berkenaan. Oleh itu, katanya, promosi itu termasuk laman web dan barangan promosi memerlukan sedikit penyelarasan. "Saya berpendapat jika AirAsia menggunakan terma 'terminal syarikat penerbangan kos rendah' atau LCCT, terutama pada pas masuk dan laman web, ia akan mengelirukan penumpang.Mereka akan pergi ke LCCT lama. "Kita akan mengingatkan AirAsia untuk bekerjasama dengan MAHB ke atas slogan yang sesuai untuk mempromosi klia2," katanya kepaa pemberita selepas melancarkan laluan bergerak iWalk di klia2 di sini, Jumaat. Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan CEO AirAsia, Aireen Omar mengadakan pertemuan dengan Liow dan Azharuddin. Selepas mesyuarat dua jam, Liow berkata, nama klia2 akan kekal kerana ia telah didaftarkan dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Sementara itu, Badlisham berkata, MAHB bersedia mengadakan perjumpaan dengan AirAsia tidak lama lagi bagi menjelaskan perkara itu. "Kami berharap untuk bekerjasama dengan AirAsia, terutama mengenai penggunaan perkataan. Terma 'klia2' dan 'pengembara kos rendah' boleh digunakan. Penggunaan perkataan adalah penting agar kita tidak mengelirukan penumpang," tambahnya. Badlisham menekankan yang klia2 akan sentiasa diguna untuk menunjukkan terminal itu adalah pusat pengembara kos rendah. Menurut beliau, penukaran nama daripada klia2 pada pas masuk juga bertentangan dengan peraturan IATA dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa. BERNAMA