suria

MH370: Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri 19 Julai Ini

Liow Tiong Lai.

SEPANG: Mesyuarat tiga pihak peringkat menteri mengenai pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang akan diadakan pada 19 Julai di Kuala Lumpur untuk membincangkan hala tuju pencarian.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata menteri pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia akan menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya mengenai pencarian pesawat malang itu yang hilang pada 8 Mac 2014.

"Kami (Malaysia, China dan Australia) tidak akan menghentikan pencarian. Kami komited untuk menamatkan pencarian di kawasan meliputi 120,000 km persegi. Setakat ini, kami telah selesai pencarian mencakupi 107,000 km persegi.

"Kami akan membuat pengumuman mengenai hala tuju itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan walkalators iWalk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini Jumaat.

Liow berkata, cuaca buruk telah menghalang operasi mencari. Bagaimanapun misi pencarian akan diteruskan pada Oktober apabila keadaan cuaca bertambah baik.

Sementara itu, Liow menyambut baik pelantikan Peter Bellew sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines yang baharu.

"Beliau arif dengan MAB dan telah membantu Christoph Mueller. Ia menyaksikan  peralihan tugas yang berjalan dengan amat lancar.

"Saya sangat yakin bahawa MAB mampu untuk kembali mencatatkan keuntungan. Kami mengharapkan semoga semuanya terbaik," katanya.

MAB pada Khamis mengumumkan Bellew untuk menggantikan Mueller, yang meletakkan jawatan pada 10 Mac tetapi akan terus berkhidmat bagi memenuhi notis enam bulan perletakan jawatannya sehingga 9 September.

Mueller akan bercuti dan meletakkan jawatan dari Lembaga Malaysia Airlines bermula Jumaat.

Bellew mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri penerbangan.

Beliau menjadi anggota pasukan pengurusan kanan Malaysia Airlines sejak 1 September tahun lepas. - BERNAMA

MH370, Liow Tiong Lai, MAB

Artikel Lain