PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota jemaah menteri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri YAB Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri Tahun 2016 pada hari raya pertama di Kompleks Seri Perdana di sini. Kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikeluarkan pada Jumaat menyebut majlis rumah terbuka tersebut akan bermula 10 pagi sehingga 4 petang. "Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dengan pakaian kebangsaan dan bersesuaian," kata kenyataan itu. Kenyataan JPM itu menyebut perkhidmatan bas secara percuma disediakan oleh Bas Putrajaya dari tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra untuk kemudahan orang ramai menghadiri majlis tersebut. "Orang ramai boleh meletakkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dengan kekerapan setiap 20 minit," katanya. Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjemput orang ramai ke Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini, pada 9 Julai (Sabtu). Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat menyebut majlis rumah terbuka tersebut akan berlangsung dari 3.30 petang sehingga 7 malam. - BERNAMA