KUALA LUMPUR: Seorang peniaga 'steamboat' didenda RM1,000 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat, selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap kakaknya. Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Herman Syah Muslim, 53, kerana mencederakan Yuliarti, 54, dengan memukul dan menumbuk beberapa kali di muka, bahu, kepala serta badan mangsa. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini, pada 4 petang, 29 Jun lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau dengan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Mengikut fakta kes, kejadian di halaman rumah mangsa itu adalah disebabkan keengganan mangsa membayar kos rawatan bapa mereka sebanyak RM2,800 yang dikongsi bersama adik-beradik yang lain. Peguam Fahmi Adilah yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda ringan kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarganya dan mempunyai tiga anak masih bersekolah. Katanya kesalahan itu adalah pertama dilakukan tertuduh dan dia juga telah insaf. Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon hukuman setimpal. - BERNAMA