PETALING JAYA: Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International mengalu-alukan penyertaan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes ke majlis globalnya dalam mempengaruhi orang ramai membantu usahanya untuk mencegah dan mengakhiri pencabulan hak asasi manusia. Barisan tokoh lain termasuk usahawan Richard Branson, pengarang Brazil Paulo Coelho, artis Jepun Yoko Ono, aktivis sosial Hadeel Ibrahim dan ahli perniagaan Bassim Haidar. "Ini adalah satu penghormatan untuk kami mengalu-alukan Tan Sri Tony Fernandes dan semangat keusahawanan serta kreativitinya untuk bersama dengan majlis global kami. "Dengan adanya seorang tokoh perniagaan terkenal dari Asia dalam majlis itu, ia akan meningkatkan keterlihatan terhadap Amnesty International dan isu-isu hak asasi manusia yang diberi tumpuan oleh kami di Asia dan di seluruh dunia," kata Setiausaha Agung Amnesty International Salil Shetty. Majlis ini ditubuhkan pada tahun 2013 untuk membantu meningkatkan sokongan orang ramai dan kewangan untuk membantu pengembangan organisasi ini di Afrika, Asia, Amerika Latin dan Timur Tengah. Bagaimanapun, Fernandes telah terlibat dalam organisasi ini dalam jangka masa lebih lama. "Saya menyertai Amnesty International ketika saya berusia 13 tahun. Sebagai ahli ia mengajar saya betapa pentingnya hak asasi manusia terhadap maruah seseorang manusia. "Oleh itu, saya amat berbesar hati kerana dapat berbakti kepada Amnesty International sebagai sebahagian daripada majlis global, dan saya berharap untuk mewujudkan kesedaran di Asia, terutamanya di kalangan belia Asean," kata Fernandes.