PUTRAJAYA: Pemandu bas persiaran mengalami kecederaan ringan selepas bas dipandunya terbalik di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) berhampiran Plaza Tol Putrajaya arah ke Kuala Lumpur, petang Sabtu. Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Redzuan Najib berkata kejadian berlaku pada 6.30 petang, selepas bas tersebut melanggar pembahagi jalan di lebuh raya berkenaan. "Ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian bas terbabit didapati tiada penumpang. Pemandu bas itu yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, di sini Sabtu. Sementara itu, pihak pengurusan Lebuh Raya MEX dalam laman Twitter mereka memaklumkan sehingga 9.30 malam tadi, laluan tanjakan dari Putrajaya ke Lebuh Raya Elite masih ditutup bagi kerja-kerja mengalihkan bas tersebut. -Bernama