suria

Peningkatan Ekstremisme Di Bangladesh Undang Bahaya Di Rantau Ini

PETALING JAYA: Ekstremisme di Bangladesh yang dilihat meningkat dengan cepat, dijangka akan memberi limpahan kesan di seluruh rantau ini, pakar-pakar keganasan memberi amaran.

Serangan pengganas di sebuah kafe ala-Barat di Dhaka pada malam Jumaat adalah yang terbesar di negara itu, dengan 22 orang termasuk 18 warga asing terbunuh.

Sebelum ini, serangan dilancarkan ke atas individu yang lantang menyokong gaya hidup sekular atau liberal atau mereka yang dilihat sebagai mengkritik Islam.

Mereka yang mati termasuk penulis, aktivis LGBT, ateis dan ahli akademik, dengan BBC melaporkan bahawa sejak Februari 2013, sekurang-kurangnya 40 kematian telah dipersalahkan ke atas militan Islam.

Terdapat juga serangan yang dilakukan terhadap kumpulan agama minoriti, dengan seorang sami Hindu dibunuh di daerah Jhenaidah pada pagi Jumaat, pembunuhan kedua seumpamanya dalam masa beberapa minggu.

Walaupun Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab dalam banyak serangan, polis berkata, mereka adalah ahli-ahli Jamaatul Mujahideen Bangladesh (JMB), sebuah pertubuhan fundamentalis Islam.

Profesor Madya Kumar Ramakrishna bagaimanapun berkata Bangladesh mesti mengakui kemungkinan bahawa walaupun sekumpulan pelampau domestik telah melakukan serangan tersebut, mereka mungkin berbuat demikian di bawah arahan atau sekurang-kurangnya, pengaruh ideologi ISIS.

"Saya rasa serangan terkini dan sasaran jelas dilakukan terhadap warga asing, terang-terangan menunjukkan ia mengikut jejak pelampau antarabangsa ISIS," kata Kumar yang mengetuai kajian dasar di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam Singapura.

Katanya, Bangladesh sedang menjadi sasaran ISIS dan Al-Qaeda kerana ia adalah sebuah negara strategik dengan 160 juta Islam Sunni, populasi penduduk muda yang besar dan perbalahan politik di kalangan golongan elit.

Tambahnya, kedudukan geografi negara itu yang terletak di sebelah Asia Tenggara, merupakan tempat tinggal kepada satu perempat daripada umat Islam di dunia.

"Adalah sesuatu yang masuk akal bagi mereka yang dipanggil khalifah ISIS ini untuk menyasarkan negara ini dalam usaha menonjolkan pengaruhnya ke arah timur dari Iraq atau Syria," kata Kumar.

Pada Mac, kerajaan Singapura telah menahan lapan lelaki Bangladesh yang dituduh merancang serangan keganasan apabila mereka kembali ke negara asal.

Ini diikuti dengan penangkapan dan pengusiran 27 pekerja binaan warga Bangladesh yang dikatakan menyokong Al-Qaeda dan Negara Islam.

"Tangkapan yang dibuat oleh Singapura terhadap pekerja Bangladesh yang radikal pada 2016 adalah tanda yang jelas bahawa apa yang berlaku di Bangladesh mempunyai limpahan kesan ke atas wilayah kita sendiri," kata Kumar.

Pada Ahad dua daripada mereka yang terlibat dalam serangan di kafe di Dhaka dikenal pasti pernah belajar di Malaysia.

Nibras Islam dan Rohan Imtiaz pernah belajar di Universiti Monash di Malaysia. Kedua-dua mereka datang daripada keluarga kelas pertengahan.

Penganalisis politik Profesor Dr Aruna Gopinath dari Universiti Pertahanan Malaysia berkata pihak berkuasa di sini mesti melakukan pemerhatian secara berhati-hati.

"Kita perlu berhati-hati dan memantau mereka yang datang ke negara ini," kata Dr Aruna yang merupakan pakar dalam kajian keganasan.

Artikel Lain