suria

Hasrat Isteri Juruterbang MH17 Beraya Di Kampung Tertunai

PETALING JAYA: Hasrat untuk pulang bersama dua anaknya  beraya di kampung halaman di Kota Baru dua tahun lalu tidak tertunai apabila suaminya maut dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Suaminya yang merupakan juruterbang MH17, Kapten Wan Amran Wan Hussin dipanggil Ilahi di saat seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa pada 17 Julai 2014.

Namun Aidilfitri kali ini, Mariyam Yusoff bersama Wan Yunus Uzair, 13, dan Wan Yusuf Irfan, 11, berpeluang untuk menyambut hari mulia di kampungnya buat pertama kali selepas pemergian insan tersayang.

Mengimbas kembali kenangan dua tahun lalu, ibu tunggal ini berkata, dia dan arwah suami merancang untuk pulang beraya di Kota Baru sebelum nahas berlaku.

"Tetapi hajat tersebut tak kesampaian sebab suami terbabit dalam nahas MH17. Raya kami ketika itu hanya mendoakan arwah, selain masih dalam kesedihan tanpa suami, tanpa ayah.

"Tahun lalu, hasrat kami tiga beranak untuk pulang beraya ditangguh lagi kerana menghadiri majlis upacara memperingati tragedi MH17 di Belanda pada 17 Julai, yang jatuh pada hari raya pertama.

"Raya tahun ini barulah kami dapat pulang beraya di Peringat, Kota Baru. Itupun selepas dipujuk anak-anak yang rindu untuk berhari raya di kampung," katanya kepada mStar Online.


Walaupun kesayuan lebih terasa menjelang Aidilfitri, kata Mariyam, dia harus tabah supaya kekuatan itu dapat memberi semangat kepada anak-anaknya yang kini hidup tanpa ayah.

"Arwah pergi dulu menemui Ilahi kerana Allah sayangkan dia. Saya percaya arwah akan gembira dengan kami yang pulang beraya ke kampung.

"Arwah semasa hayatnya memang seorang yang mengutamakan keluarga dan pulang ke kampung antara yang dilakukannya jika kelapangan. Dan sekarang saya perlu teruskan amalan itu untuk kebahagiaan diri saya dan anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, Mariyam turut berkongsi pengalaman pahitnya pada Ramadan lalu apabila perusahaan ternakan ikan kelinya di Bachok, Kelantan mengalami masalah dalam dua kejadian berasingan.

Katanya, berpuluh ribu ikan kelinya 'lesap'  didakwa dicuri dan kemudiannya disebabkan sangkar jaring pukat untuk ternakan itu dipercayai dirosakkan memerang, menyebabkan ikan terlepas ke sungai.

"Awalnya saya merancang untuk mengusahakan ternakan ikan keli kerana permintaannya tinggi terutama pada bulan puasa, tetapi tak sangka jadi macam ini," katanya.

Bagaimanapun Mariyam berkata, dua kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengusahakan ternakan ikan keli.

"Alhamdulillah, saya masih mendapat hasilnya walaupun tak banyak. Perusahaan ini akan saya teruskan untuk sumber pendapatan kami sekeluarga.

"Bagi saya, ia hanya dugaan kecil buat saya kerana pemergian suami dan ayah kepada anak-anak saya merupakan dugaan paling besar yang kami lalui," ujar Mariyam.

Tragedi pesawat MH17 ditembak jatuh dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Mariyam Yusoff, MH17, Ukraine, Peringat

Artikel Lain