suria

Surau Buluh Tarikan Baharu Kuala Kangsar

Surau Buluh yang terletak di Chandan Puteri, Mukim Bendang Panjang dibina dengan menggunakan 100 peratus buluh yang diimport khas dari Yogjakarta, Indonesia dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini. - fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Buluh merupakan sumber alam yang banyak digunakan oleh masyarakat di rantau Asia, termasuk Malaysia bagi pelbagai kegunaan seperti alat muzik, bahan binaan, barangan dekorasi dan peralatan dapur.

Bagi pengasas 'Islamic Green Village' Jamaluddin Ahmad, 55, beliau menggunakan buluh 100 peratus untuk membina sebuah surau di Chandan Puteri, Mukim Bendang Panjang di sini.

Lebih unik, surau yang berkonsepkan 'Bumbung Lima Perak' itu dibina menggunakan kira-kira 4,000 batang buluh, iaitu buluh betong dari Indonesia dan buluh wulung sebagai tiang surau, manakala buluh apus diguna untuk dijadikan bumbung surau itu yang direka tanpa mempunyai dinding, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata surau buluh yang dibina dengan kos RM600,000 dan dijangka siap sepenuhnya Oktober ini, menggunakan skru untuk mencantum batang buluh itu, manakala lantai pula menggunakan jubin.

"Idea untuk membina surau daripada buluh tercetus apabila saya mengadakan lawatan ke Yogjakarta, Indonesia tidak berapa lama dahulu dan sering kali melihat bangunan yang dibina daripada buluh," katanya.


Jamaluddin berkata rasa kagum terhadap pembinaan berasaskan buluh di Indonesia telah mendorongnya untuk membawa masuk teknologi dari negara jiran itu ke Malaysia agar masyarakat menghargai sumber alam tersebut.

"Sifat buluh ini bukan sahaja tidak mencemarkan tetapi tidak panas malah memberi keselesaan," tambahnya.

Beliau berkata untuk itu pembangunan Islamic Green Village ini mempunyai unsur-unsur kehijauan, memanfaatkan sumber alam untuk dijadikan bahan binaan.

"Bahkan sebahagian daripada sekolah pondok di sini juga akan dibina  daripada buluh," katanya.

Jamaluddin berkata beliau memilih untuk membina surau yang mampu memuatkan kira-kira 400 hingga 500 jemaah pada satu-satu masa di kawasan itu, untuk kegunaan masyarakat setempat.

Beliau berkata serta permulaan kepada pembinaan sebuah sekolah pondok khusus untuk warga emas mendalami Islam berhampiran kawasan tersebut.

Sementara itu, Mazlan Othman, 59, arkitek yang mereka bentuk surau itu  berkata buluh tidak asing dalam seni bina rumah Melayu sejak zaman dahulu, namun penggunaannya untuk membina surau merupakan sesuatu yang unik.

"Kami hendak menjadikan buluh sebagai bahan binaan unggul di Malaysia kerana seperti mana yang kita tahu buluh semakin dilupakan, maka ia perlu dipromosikan semula dan dijadikan ikon.

"Untuk menyiapkan surau ini, saya menggunakan 10 tenaga kerja yang terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia yang dikhususnya kepada penyediaan konsep surau," katanya.

Mazlan berkata pemilihan buluh betong untuk tiang utama adalah kerana buluh itu mampu bertahan antara 60 hingga 70 tahun, dan ia diimport dari Yogjakarta memandangkan bahan itu sukar didapati di Malaysia, selain mahal jika dibandingkan dengan tempat lain.

Katanya buluh-buluh betong berkenaan akan dicelup dengan asid borik terlebih dahulu supaya tahan lama, manakala buluh-buluh lain tidak perlu diletakkan sebarang kimia sebaliknya hanya dibasuh.

"Buluh betong yang dijadikan tiang mestilah berusia lima tahun," katanya.

Seorang lagi arkitek dari Bali, Indonesia, Nugro Widhi Nugrohos, 36, berkata keistimewaan rekaan surau itu adalah ia menyediakan ruang dengan peredaran udara dan pencahayaan yang amat baik.

"Konsep yang dipilih ditransformasi supaya rekaan tampak lebih moden walaupun menggunakan buluh sebagai bahan binaan utama,"katanya. - BERNAMA
Surau Buluh, Kuala Kangsar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain