JOHOR BARU: Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka maut selepas kereta mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 2.5, Jalan Labis-Muar dekat Segamat. Tiga orang lagi anak pasangan ini tercedera. Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, DSP Yusuf Unis berkata Mohd Rezal Abdul Karim, 37, dan isterinya Rozaimah Mahmood, 41, meninggal di tempat kejadian manakala anak mereka Nuralisa Yasmin, 11, meninggal di Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira 3.30 pagi. Sementara itu anak bongsu pasangan berkenaan Nurdurruh Khadeejah, 1, masih kritikal dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu manakala yang sulung Muhammad Aniq Aiman, 16, dirawat di wad biasa HDS sementara adiknya Muhammad Haziq Iqbal, 13, dirawat di Unit Rawatan Rapi HDS. Pemandu pacuan empat roda berkenaan Ezam Abu, 55, turut parah dan masih dirawat di HDS dan keadaannya dilapor stabil, kata Yusuf. "Kemalangan berlaku kira-kira 7.20 malam ketika Mohd Rezal, isterinya bersama empat anak mereka yang menaiki kereta Proton Saga dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Suria, Buloh Kasap, Segamat untuk beraya di rumah seorang kenalan mereka di Labis," katanya. Beliau berkata bagaimanapun pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu yang datang dari arah Muar-Labis dilapor memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta mangsa. Yusuf berkata jenazah Mohd Rezal, Rozaimah dan Nuralisa telah dituntut keluarga mereka hari ini dan dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mensudut Pindah, Segamat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.