KUALA LUMPUR: Orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini gempar apabila sebuah van terbakar di bahu jalan pada pagi Selasa. Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran van jenis Toyota itu pada pukul 8.52 pagi sebelum tiba di lokasi lapan minit kemudian. Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran sebuah van di tepi jalan. "Sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba Hang Tuah berjaya mengawal dan memadam api sepenuhnya pada 9.10 pagi. "Pemeriksaan mendapati tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang merosakkan 90 peratus kenderaan tersebut," katanya.