KUALA LUMPUR: Seorang pekerja hotel terpaksa 'bermalam' di penjara gara-gara berbogel dan menunjukkan kemaluan kepada seorang pelajar kolej, minggu lepas. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 terhadap S.Reevandran, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah berbogel dan menunjukkan kemaluan kepada gadis berusia 22 tahun itu dengan maksud mengganggu kesantunan mangsa. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu. Reevandran didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif tingkat 23A, sebuah kondominium di Setapak, di sini antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari, 6 Jun lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Redza Mohd Noh memohon mahkamah memberi peluang kedua dan hanya menjatuhkan hukuman denda dengan alasan tertuduh adalah pesalah muda yang telah menyesal atas perbuatannya. Timbalan Pendakwa Raya Nurelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira perbuatan tertuduh yang salah dari segi undang-undang dan moral. "Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun saya memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam terutama wanita," katanya. Beliau berkata tertuduh juga tidak boleh sewenang-wenangnya menunjukkan kemaluan kepada sesiapa sama ada lelaki atau pun wanita.