PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung lesen dan 26 permit bas milik Qistina Express Sdn Bhd selama sebulan susulan kemalangan membabitkan bas tersebut di Kilometer (KM) 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan selepas Terowong Menora pada 10 Julai lalu. Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata tindakan tegas itu diambil selepas mendapati syarikat tersebut melanggar syarat-syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD pada 12 Julai lalu. "Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai kemalangan membabitkan bas ekspres itu yang sedang dijalankan," katanya. Menurut Mohd Azharuddin, SPAD percaya tindakan penggantungan lesen dan permit Qistina Express diharap akan menjadi pengajaran kepada pengendali bas ekspres lain supaya mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) suruhanjaya itu pada setiap masa. "SPAD ingin sekali lagi menegaskan bahawa suruhanjaya ini memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres," katanya. Beliau berkata SPAD turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan terus bekerjamsama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan pengusaha bas ekspress supaya mengutamakan keselamatan penumpang. "SPAD akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kenderaan mereka beroperasi dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya," katanya. Pada 10 Julai lalu, dua cedera selepas kereta yang mereka naiki dirempuh bas ekspres yang turut merempuh sembilan kenderaan lain di Kilometer (KM) 265.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora. Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, bas ekspres itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh 10 kereta yang ada di depannya. Semasa kemalangan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan menuju ke selatan dan membawa 28 penumpang.