Wisma Putra dalam kenyataan di sini berkata Malaysia percaya semua pihak berkaitan mampu menyelesaikan pertikaian secara aman dengan menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan perundangan serta undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.
Malaysia percaya ia adalah penting untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan menerusi kawalan diri daripada menjalankan aktiviti yang mampu menambahkan kesulitan atau meningkatkan ketegangan, serta mengelakkan ancaman atau menggunakan kekerasan di Laut China Selatan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah bahawa Malaysia juga sedar Tribunal Timbang Tara di bawah Lampiran VII UNCLOS 1982 telah membuat keputusannya semalam.
Dalam keputusan bersejarah, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague semalam membuat keputusan yang tidak memihak kepada China dalam pertikaian maritimnya dengan Filipina.
Ia memutuskan China tiada hak mengikut sejarah ke atas perairan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu serta mendapati China juga tiada alasan mengikut undang-undang untuk menuntut hak ke atas sumber di sana atas alasan ia berada dalam garisan 'nine-dash'.
China yang tidak mengambil bahagian atau mengiktiraf perbicaraan itu sejak ia bermula tahun lepas, menganggap keputusan itu sebagai 'satu pihak' sahaja.
Berikutan keputusan itu, China dalam kenyataannya berkata ia tidak menerima atau mengiktiraf keputusan tribunal berkenaan yang diadakan atas permintaan Filipina.