suria

SKMM Sekat 27 Laman Web, 54 Pautan URL Sebar Ideologi Daesh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 27 laman web dan 54 pautan URL dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang menyebarkan ideologi Daesh, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata pihak berkuasa juga telah menghubungi penyedia platform media sosial yang lain untuk mendapatkan kerjasama dalam mengeluarkan beberapa akaun berkait dengan ekstremisme.

"SKMM menghubungi YouTube, Twitter dan Facebook untuk mendapatkan kerjasama mengeluarkan satu akaun Twitter, tiga akaun Facebook dan enam saluran YouTube dengan 20 video atas alasan yang sama," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Salleh berkata SKMM telah mengambil langkah proaktif bukan hanya untuk mengenal pasti dan menyekat akses kepada outlet media dalam talian yang menyebarkan propaganda pengganas, tetapi untuk mengenal pasti individu yang didapati menyokong ideologi itu.

"Maklumat yang diperoleh menerusi pemantauan SKMM ke atas outlet media sosial memudahkan proses mengenal pasti mereka yang didapati menyokong, simpati atau terlibat dalam penyebaran ideologi berkenaan untuk tindakan selanjutnya oleh polis," tambahnya.

Pada Khamis, SKMM dilaporkan telah menyekat 11 laman web dan 22 pautan URL dalam bahasa Melayu yang terlibat dalam penyebaran ideologi Daesh. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan